
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, terdapat kenyataan media palsu yang tular susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN hari ini.
“Pejuang tidak akan membuat sebarang keputusan politik secara sebelah pihak/unilateral atau tergesa-gesa yang membelakangkan rakan-rakan strategik yang selama ini berkongsi aspirasi dan prinsip perjuangan.
“Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah dirujuk, dimaklumkan atau memberi persetujuan berhubung dakwaan pelantikan beliau dalam mana-mana gabungan politik seperti yang tular,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, Pejuang berpendapat perpecahan politik hanya akan membawa kepada pergolakan tanpa henti yang menjejaskan ekonomi serta kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Muhyiddin akan melepaskan jawatan pengerusi PN pada 1 Jan ini, susulan krisis politik di Perlis yang menyaksikan Bersatu mengambil alih jawatan menteri besar daripada PAS.
Kemelut tersebut telah mencetuskan keretakan antara PAS dan Bersatu, dengan PAS mengecam kegagalan Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap lima Adun Perlis yang menarik balik sokongan terhadap bekas menteri besar daripada PAS, Shukri Ramli.
Mahathir sebelum ini menuduh Muhyiddin mencuri dana Bersatu dan menyasarkan jawatan perdana menteri untuk mengelak dipenjarakan.
Mahathir merupakan pengasas Pejuang namun meninggalkan parti tersebut pada Disember 2022 susulan kekalahan teruk pada PRU tahun itu.