3 suruhanjaya pilihan raya lebih baik daripada 1, kata Bersih

3 suruhanjaya pilihan raya lebih baik daripada 1, kata Bersih

Kumpulan pemantau pilihan raya gesa Suruhanjaya Penguatkuasaan Pilihan Raya serta Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya sebagai tambahan

Bersih 2.0 berkata, struktur SPR mendedahkannya kepada salah guna, manipulasi.
PETALING JAYA:
Kumpulan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mencadangkan supaya tiga suruhanjaya berbeza, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diwujudkan untuk memantau pengurusan pilihan raya di negara ini.

Katanya, fungsi SPR patut dibahagikan kepada tiga entiti berbeza, iaitu dengan pembentukan Suruhanjaya Penguatkuasaan Pilihan Raya (SPPR), dan Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya (SSPR) selain SPR sedia ada.

Katanya, undang-undang dan struktur SPR sedia ada mendedahkannya kepada salah guna dan manipulasi.

“Cara struktur SPR direka membuatkan kebebasannya boleh dikompromi bila tiba masanya.

“Undang-undang sendiri pun boleh disalah guna dan dimanipulasi. Kita tidak boleh sekadar bergantung kepada jasa baik mereka yang berada dalam suruhanjaya itu semata-mata,” kata penyelidik Bersih, Chan Tsu Chong yang membentangkan laporan bertajuk “Three is Better Than One: Institutional Reforms for Electoral Management in Malaysia”, (Tiga lebih baik dari satu: Pembaharuan institusi untuk pengurusan pilihan raya di Malaysia), hari ini.

Chan berkata, SPR masih akan bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya termasuk menguruskan pendaftaran pengundi dan daftar pemilih.

Sementara itu, SPPR pula akan ditugaskan memantau dan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, termasuk menyelaras parti politik.

Ketika pilihan raya, ini akan turut membabitkan lebih banyak peranan langsung seperti mengambil tindakan terhadap keganasan, penipuan undi, pembelian undi dan lain-lain lagi.

“Di luar tempoh pilihan raya, badan ini akan bertanggungjawab terhadap pendaftaran parti politik. Satu lagi yang diperlukan untuk perkara ini adalah Akta Parti Politik,” tambahnya.

Katanya, SSPR pula adalah entiti ad hoc untuk menyemak dan membaiki had sempadan pilihan raya.

Chan berkata, ketiga-tiga suruhanjaya ini patut mempunyai ahli dengan latar belakang yang relevan.

Menurutnya, Jawatankuasa Penamaan Pilihan Raya (JPPR) juga patut diwujudkan untuk melantik anggota tiga suruhanjaya berkenaan. Ini patut mempunyai lapan wakil daripada tiga cabang kerajaan serta pakar daripada badan yang dibentuk secara sah.

Ini termasuk perdana menteri, pemimpin pembangkang, pengerusi dan pegawai kanan kerajaan dalam jawatankuasa pemilih parlimen berhubung hal ehwal pilihan raya, ketua hakim negara, pengerusi Suhakam, presiden Majlis Peguam serta wakil pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai ilmu atau kepakaran praktikal berhubung pilihan raya.

Chan berkata mereka akan menggantikan sistem sedia ada, yang melihat anggota SPR dilantik secara arbitrari oleh perdana menteri dan badan eksekutif.

Mengulas cadangan itu, Bersih 2.0 berkata, anggota SPR sepatutnya individu yang dihormati masyarakat. Mereka juga tidak boleh bankrap, bukan Ahli Parlimen atau wakil rakyat, atau pegawai yang menerima bayaran dari luar.

Katanya, SPPR wajar disertai ketua polis negara, ketua suruhanjaya pencegah rasuah (SPRM), peguam negara serta empat ahli yang mempunyai kelayakan formal dalam penguatkuasaan undang-undang atau pilihan raya, dengan sekurang-kurangnya dua daripada mereka adalah anggota pertubuhan bukan kerajaan.

SSPR pula sewajarnya dianggotai seorang hakim Mahkamah Persekutuan, anggota SPR, ketua pengarah ukur dan pemetaan, ketua perangkawan serta dua anggota dengan kelayakan dan pengalaman formal dalam pilihan raya, statistik atau geografi.

Sementara itu naib pengerusi SPR Azmi Sharom berkata dalam forum itu, sistem tiga suruhanjaya mungkin satu cara untuk membawa pembaharuan dalam pilihan raya negara ini.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai pindaan perlu dilakukan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.