Mahkamah Rayuan putuskan SPR salah guna peraturan Covid-19 untuk sekat pengundi

Mahkamah Rayuan putuskan SPR salah guna peraturan Covid-19 untuk sekat pengundi

Mahkamah Rayuan berkata jurutera pesawat, RK Tamileswaaran dinafikan hak perlembagaannya untuk mengundi tanpa sebarang asas undang-undang.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan membuat keputusan menyebelahi RK Tamileswaaran tetapi menolak tuntutannya untuk ganti rugi sebanyak RM10,000.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak sah dengan menyekat hak seorang pengundi pada PRN Johor 2022 atas dasar sekatan kuarantin Covid-19.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Supang Lian membuat keputusan menyebelahi jurutera pesawat, RK Tamileswaaran, yang mencabar keputusan SPR menafikan haknya untuk mengundi walaupun pengundi berdaftar.

Rayuan itu turut didengar Hakim Wong Kian Kheong dan Ismail Brahim.

Tiada perintah dibuat berkait kos.

Ketika menyampaikan keputusan, Wong berkata tiada pertikaian Tamileswaaran telah didaftarkan dengan sewajarnya untuk mengundi di DUN Skudai.

Beliau berkata penolakan SPR membenarkan Tamileswaaran mengundi kerana status kuarantinnya dibuat tanpa asas undang-undang dan melanggar hak perlembagaannya.

“SPR mesti mengendalikan pilihan raya tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan sedia ada.

“Undang-undang kecil mengenai Covid-19 bukan sebahagian daripada undang-undang persekutuan sedia ada kita, ia dicipta oleh ketua pengarah kesihatan (untuk pandemik Covid-19),” kata Wong.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Tamileswaaran untuk ganti rugi sebanyak RM10,000.

“Keputusan (untuk tidak membenarkan Tamileswaaran mengundi) tidak dibuat dengan niat jahat,” kata Wong, sambil menambah Malaysia belum keluar daripada pandemik pada masa itu.

Peguam New Sin Yew mewakili Tamileswaaran manakala Peguam Kanan Persekutuan Al-Saifi Hashim mewakili SPR.

Menurut Tamileswaaran, beliau diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19.

Pada hari pengundian iaitu hari keenam kuarantin, beliau mendakwa ujian kendiri diambil pada 11.58 pagi pada hari itu menunjukkan keputusan ‘negatif’ tetapi tidak dibenarkan mengundi.

Beliau memohon kebenaran membawa prosiding semakan kehakiman dalam usaha membatalkan penolakan SPR terhadap haknya untuk mengundi dengan menamakan SPR dan kerajaan sebagai responden.

Beliau juga memohon deklarasi SPR telah melanggar hak perlembagaannya untuk mengundi di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 22 Jun 2022, Tamileswaaran memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk membawa prosiding kehakiman.

Bagaimanapun, pada 7 Disember tahun itu, beliau gagal di peringkat ‘inter-partes’, yang menyebabkan beliau mengemukakan rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.