
Zahid yang juga pengerusi BN berkata, kejayaan itu menunjukkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan semakin diterima rakyat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Pelangai dan ucapan tahniah saya ucapkan kepada Amizar Abu Adam di atas kemenangan pada PRK DUN Pelangai kali ini,” katanya di Facebook.
BN mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam pertembungan tiga penjuru, dengan calonnya menang dengan majoriti 2,949 undi.
Amizar memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail pula menyifatkan kemenangan itu membuktikan pengundi Pelangai matang dan bijak membuat pilihan bagi menentukan wakil rakyat yang paling layak untuk mewakili mereka.
“Ia juga membuktikan masyarakat Pelangai tidak sesekali terpengaruh dengan kempen agresif PN sehingga sanggup menabur fitnah, memaki hamun, mengadu domba, mengeluarkan kata-kata kesat, lucah serta memburukkan kerajaan negeri dalam setiap siri ceramah mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata kemenangan tersebut membuktikan formula kerjasama antara parti dalam kerajaan perpaduan diterima rakyat.
“Kemenangan dengan majoriti selesa ini membuktikan bahawa pengundi Pelangai mahu kerjasama di Pahang yang diterajui Wan Rosdy Wan Ismail terus stabil dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.
Manakala Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Amirudin Shari pula menyifatkan kemenangan itu sebagai pengiktirafan bahawa rakyat semakin yakin dengan kerajaan perpaduan.
“Ini adalah pengiktirafan bahawa rakyat semakin yakin dengan kerajaan perpaduan sebagai wadah terbaik untuk memajukan dan memakmurkan negara kita,” katanya.