
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata keputusan PRK Pelangai juga menunjukkan tidak berlaku pemindahan undi yang ketara antara PH dan BN.
“Sebaliknya, apa yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, trend itu sama seperti yang berlaku dalam PRN dan siri PRK sebelum ini.
Pada PRK Pelangai, BN memperoleh majoriti 2,949 undi menurun berbanding 4,048 pada PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan calon BN Amizar Abu Adam menang dengan kelebihan 7,324 undi, menewaskan pencabar daripada PN, Kasim Samat (4,375 undi), dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli (47 undi).
Menurut Muhyiddin, PN menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding PRU lalu dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,115 undi.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PN yang bertungkus-lumus berkempen dan juga kepada para pengundi di DUN Pelangai yang mengundi calon PN,” katanya.