Belum tiba masa beri SPR kuasa kemas kini alamat pengundi, kata pemimpin pembangkang

Belum tiba masa beri SPR kuasa kemas kini alamat pengundi, kata pemimpin pembangkang

Tun Faisal Ismail Aziz berkata SPR belum capai tahap neutraliti dan integriti yang diperlukan untuk diberi kuasa itu.

SPR
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata SPR berdepan krisis keyakinan awam dan masalah ketelusan dalam pelantikan anggota suruhanjaya yang didakwa tidak melalui tapisan Parlimen.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin pembangkang berkata belum masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kuasa tambahan termasuk untuk mengemas kini alamat mengundi pengundi selaras tertera pada MyKad.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata cadangan ini belum sesuai dilaksanakan kerana pentadbiran kerajaan hari ini berhadapan dengan krisis keyakinan termasuk membabitkan institusi penguatkuasaan, undang-undang dan kehakiman.

“SPR sendiri berdepan dengan krisis keyakinan awam dan masalah ketelusan dalam pelantikan anggotanya yang didakwa tidak melalui proses tapisan biasa.

“Beberapa pelantikan ahli suruhanjaya SPR terus menimbulkan persoalan,” katanya kepada FMT.

Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau merujuk kepada pelantikan beberapa ahli suruhanjaya SPR yang dikritik NGO kerana mencetuskan risiko konflik kepentingan kerana mempunyai latar belakang aktivis politik dan dibuat tanpa melalui semakan Parlimen.

Tun Faisal berkata keraguan ketidaktelusan dalam pelantikan anggota SPR menunjukkan badan itu belum mencapai tahap neutraliti dan integriti yang diperlukan sebelum diberi kuasa tambahan.

“NGO dan pemantau pilihan raya sendiri tidak meyakini proses pelantikan SPR, malah secara konsisten menolak cara pelantikan ahli suruhanjaya yang dibuat secara tertutup tanpa proses Parlimen.

“Jika badan pemantau pilihan raya tidak yakin dengan SPR dan lantikannya, mustahil rakyat dapat meletakkan kepercayaan penuh terhadap cadangan kuasa baru SPR,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu juga boleh menyebabkan risiko penyalahgunaan kuasa yang sangat tinggi seperti menukar kawasan mengundi tanpa pengetahuan pengundi sekali gus memberi kesan langsung kepada komposisi kawasan pilihan raya.

Tambahnya, sebelum sebarang kuasa diberikan kepada SPR, kerajaan perlu terlebih dahulu melaksanakan reformasi institusi seperti yang dijanjikan.

“Kerajaan perlu melaksanakan terlebih dahulu pelantikan anggota SPR melalui Parlimen, audit bebas daftar pemilih, mekanisme semak imbang dan akses data yang adil dan pembersihan persepsi konflik kepentingan dalam SPR.

“Hanya selepas institusi SPR melalui proses reformasi institusi dan kerajaan diyakini tidak menyalahgunakan kuasa, barulah kuasa tambahan yang luas kepada SPR wajar dipertimbangkan,” katanya.

Cadangan pembaharuan struktur dalam SPR yang akan memberinya kuasa mengemaskini alamat mengundi pengundi selaras tertera pada MyKad, disuarakan Ahli Suruhanjaya SPR, Zoe Randhawa.

Beliau berkata, langkah dilihat penting bagi memperkukuh sistem pilihan raya negara yang berasaskan kediaman.

Katanya, batasan undang-undang sedia ada menyebabkan rekod pengundi tidak dikemas kini, termasuk kes individu yang masih berdaftar di blok kediaman di Kuala Lumpur yang dirobohkan beberapa dekad lalu, sekali gus menjejaskan gambaran sebenar kawasan pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.