
Menerusi kenyataan, syarikat itu berkata insiden tersebut berpunca daripada sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan pegawai jabatan.
Susulan itu, syarikat berkenaan memohon maaf kepada semua yang terkesan dan sedia menerima pendapat serta cadangan orang ramai.
Rakaman video yang tular di media sosial sejak semalam itu memaparkan sekumpulan pekerja syarikat kurier bertindak membaling barangan di sebuah gudang dipercayai di Ipoh, sehingga mengundang rasa tidak puas hati ramai.
Menerusi video berdurasi 15 saat itu, kakitangan syarikat berkenaan dipercayai bertindak sedemikian sebagai ‘isyarat’ kepada pihak pengurusan selepas tidak berpuas hati dengan soal komisyen dan gaji.
Susulan itu, J&T dalam maklum balasnya berkata syarikat itu komited untuk membangunkan sistem pampasan dan faedah lengkap bagi pekerja, seterusnya memberikan pembayaran pekerja akhir tahun setelah membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus, dan Undang-Undang Perburuhan Malaysia.
“Bonus penuh dibayar kepada pekerja yang telah bekerja selama satu tahun dan bonus dibayar mengikut tempoh masa pekerja yang bekerja kurang dari satu tahun,” kata kenyataan itu.
J&T turut menegaskan syarikatnya tidak akan memotong atau berhutang gaji kepada pekerja, dan menjelaskan bersedia menerima pengawasan serta pemeriksaan oleh masyarakat dan institusi berkenaan.
Mengambil kira aduan netizen berkenaan dakwaan pekerja J&T mencuri makanan dan minuman dari bungkusan, J&T mengakui kecuaian pihaknya dengan mengupah lebih banyak pekerja sementara yang hanya diberikan latihan asas.
“Ini kesalahan dalam pengurusan kami. Kami telah merumuskan peraturan dan kaedah pengurusan khususnya untuk penyelesaian dan pengawasan insiden serupa, serta menyelesaikan bungkusan yang hilang dengan cepat,” kata kenyataan itu.
J&T pada masa yang sama berterima kasih kepada orang ramai atas sokongan mereka dan akan berusaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dan pengurusan syarikatnya.