Laksana undang-undang dengan adil, elak sikap sinis rakyat, Ahli Parlimen beritahu polis

Laksana undang-undang dengan adil, elak sikap sinis rakyat, Ahli Parlimen beritahu polis

Charles Santiago berkata, sikap dwistandard akan menyebabkan orang ramai bersikap sinis terhadap polis.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador harus memastikan kesaksamaan dalam pelaksanaan undang-undang.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memastikan polis menguatkuasakan undang-undang secara adil kerana sikap dwistandard akan menyebabkan orang ramai bersikap sinis terhadap pasukan itu.

Pada Sabtu, Hamid berkata, penalti lebih tinggi harus dikenakan ke atas pihak yang melanggar peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Sebelum menaikkan denda, anda perlu bersikap adil,” kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

“Anda harus mendakwa pihak yang bersalah di mahkamah, hatta menteri. Dengan cara itu anda dapat memastikan orang ramai yakin (terhadap penguatkuasaan undang-undang).

“Jika polis mengenakan satu standard terhadap orang kaya dan standard lain untuk orang miskin, atau satu untuk orang politik dan yang lain terhadap orang biasa, maka tentulah orang ramai akan bersikap kritikal dan sinis,” katanya kepada FMT.

Santiago berkata, wujud kebimbangan dan kritikan berhubung cara bagaimana undang-undang dilaksanakan, terutama yang melibatkan penyakit berjangkit.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara saksama, maka kritikan tidak ditujukan terhadap undang-undang, tetapi pihak yang menguatkuasakannya, iaitu polis.

Beliau berkata, orang ramai beranggapan penguatkuasaan undang-undang itu tidak adil kepada orang biasa.

Katanya, sesetengah VIP dan menteri boleh dilihat melanggar peraturan yang ditetapkan secara terbuka tanpa dikenakan tindakan.

“Sebelum menimbangkan untuk meningkatkan denda, saya fikir polis harus melakanakan undang-undang berkenaan dengan lebih adil.”

Hamid berkata, telah sampai masa untuk menaikkan kompaun RM1,000 yang dikenakan sekarang, selain menambah bahawa polis mengeluarkan beribu-ribu saman setiap minggu.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dikritik hebat selepas memuat naik gambar beliau beriadah pagi dengan dua individu lain.

Netizen berkata, orang ramai hanya dibenarkan beriadah atau menunggang basikal berdua paling ramai.

Annuar bagaimanapun berkata, mereka bertiga beriadah secara berasingan, tetapi bertembung antara satu sama lain secara kebetulan.

Dalam satu kes lain, seorang pemilik kedai kopi di Johor didenda kerana tidak memakai pelitup muka walaupun beliau tidak berada di tempat sesak.

Polis Johor kemudiannya berkata, peraturan PKP mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam di mana terdapatnya orang lain, walaupun bukan di tempat sesak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.