Mahkamah tak boleh batal keputusan sendiri berkait deposit RM70,000 dalam kes rogol, kata peguam

Mahkamah tak boleh batal keputusan sendiri berkait deposit RM70,000 dalam kes rogol, kata peguam

Peguam R Kengadharan berkata, pihak yang terkilan hanya boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi membatalkan saman seorang wanita Mongolia yang mendakwa dirogol seorang inspektor polis kerana gagal membayar deposit RM70,000.
PETALING JAYA:
Seorang peguam berkata, Mahkamah Tinggi tiada kuasa mengetepikan keputusannya memerintahkan seorang wanita Mongolia membayar RM70,000 sebelum samannya terhadap seorang inspektor polis atas penahanan salah dan serangan seksual dapat didengar.

R Kengadharan berkata, mandat perundangan mahkamah berakhir sebaik saja penghakiman dikeluarkan.

“Dalam kes ini, pihak yang terkilan hanya dapat memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya sambil menambah wanita itu mempunyai 30 hari untuk berbuat demikian.

Peguam itu mengulas seruan dua ahli politik untuk Mahkamah Tinggi mengecualikan bayaran jaminan RM70,000 dan mendengar saman itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei menerusi kenyataan bersama semalam meminta mahkamah membuka semula kes itu, setelah saman wanita terbabit dibatalkan susulan kegagalannya membayar deposit.

Maria dan Lim berkata, pembatalan saman itu menunjukkan kepada mangsa rogol lain mereka mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM70,000 dalam akaun bank mereka untuk berjaya memfailkan saman terhadap individu didakwa merogol mereka.

“Keputusan mahkamah itu menyumbang ke arah menjadikan proses membuat laporan lebih membebankan buat mangsa,” kata mereka.

Kengadhran berkata, Maria dan Lim membuat kenyataan itu tanpa mempertimbangkan sepenuhnya fakta dan keadaan kes itu.

Wanita itu, Nandine, adalah seorang daripada dua warganegara Mongolia yang mendakwa mereka diperkosa inspektor polis Hazrul Hizham Ghazali semasa fasa pertama perintah kawalan pergerakan pada April tahun lalu.

Selain membatalkan saman itu, Hakim Azimah Omar pada 20 Jan lalu juga memerintahkan wanita itu membayar kos RM6,500 kepada Hazrul.

Hazrul meminta plaintif membayar deposit RM70,000 untuk mengekalkan samannya memandangkan dia warga asing.

Pada 14 Dis lalu, Azimah memberi Nandine 30 hari untuk mengumpulkan RM70,000 atau samannya dianggap terbatal jika gagal berbuat demikian.

Sejak itu, peguam Nandine, Thomas Philip melancarkan kempen mengumpul dana untuk memfailkan saman baru di Mahkamah Sesyen dan membayar Hazrul RM6,500.

Setakat tengah hari tadi, hampir RM30,000 berjaya dikumpul.

Untuk maklumat lanjut atau sumbangan, sila layari https://www.reward.pitchin.my/projects/help-mongolian-rape-victim-get-justice-in-malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.