Kesan PdPR ‘lembab’, kami risau murid jauh ketinggalan, kata guru di pedalaman Sabah

Kesan PdPR ‘lembab’, kami risau murid jauh ketinggalan, kata guru di pedalaman Sabah

Kehadiran murid ketika kelas dalam talian juga sangat sedikit kerana bukan semua dapat akses internet atau memiliki gajet.

Guru bimbangkan pembelajaran anak murid yang tinggal di kawasan tanpa akses internet. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Guru di pedalaman Sabah akui, mereka sangat risau dengan tahap pelajaran anak murid mereka sepanjang tempoh pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR) kerana bagi mereka, sistem berkenaan sesuatu yang sukar dan luar biasa khususnya di kawasan yang tidak mempunyai akses internet.

Seorang guru di Keningau yang enggan namanya disiarkan berkata, keberkesanan PdPR susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak banyak membantu dalam pembelajaran murid dan apa yang lebih membimbangkan ialah tahap pelajaran mereka sangat jauh ketinggalan.

”Bagi murid-murid yang tidak dapat menjalani PdPR secara dalam talian, kami akan menyediakan modul pembelajaran untuk tempoh seminggu tetapi keadaan ini agak sukar kerana kami tidak tahu perkembangan mereka.

”Ibu bapa mengambil modul dan tugasan di sekolah dan akan menghantarnya seminggu kemudian, ini satu-satunya cara kami membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau tidak mempunyai gajet kerana ada dalam kalangan murid daripada keluarga susah.

”Begitu juga dengan murid yang mampu mengikuti kelas dalam talian, ini bukan jaminan mereka faham sepenuhnya kerana kita tidak tahu bagaimana cara mereka menjawab tugasan diberi, mungkin ibu bapa tolong jawab atau dibantu dengan sumber-sumber lain, kita tidak tahu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sejak sesi persekolahan secara PdPR dimulakan pada 20 Jan lalu, kehadiran murid kelas dalam talian yang dikendalikannya hanya sekitar 40 hingga 70 peratus.

Katanya, ramai dalam kalangan anak muridnya yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai akses internet mengakibatkan mereka terlepas kelas secara dalam talian.

Sementara itu, seorang lagi guru di daerah sama berkata, tugas mereka sepanjang PdPR ini juga sangat mencabar, sama seperti cabaran yang dihadapi para murid dan ibu bapa.

”Ibu bapa mungkin berdepan dengan tugasan tambahan untuk membantu murid menjalani PdPR, begitu juga kami sebagai guru kerana kami juga menggandakan kerja demi memastikan pelajaran anak murid kami,” katanya.

Beliau turut berpendapat proses pembelajaran murid menerusi PdPR ini agak ‘lembab’ selain wujud jurang tahap pemahaman antara murid yang begitu ketara walaupun belajar di tahun yang sama.

”Bukan semua yang boleh difahami dengan belajar secara dalam talian kerana ada PdP yang memerlukan guru mengajar secara bersemuka.

”Bagaimanapun kami sentiasa lakukan yang terbaik, walaupun kami juga tidaklah boleh mengharapkan sangat murid-murid akan faham sepenuhnya dan kami juga faham dengan keadaan ibu bapa yang terpaksa menjadi guru sementara anak anak mereka.

”Apapun sama-samalah kita berdoa agar keadaan lebih baik selepas ini, kami juga rindu dengan anak murid kami dan kami juga risau dengan keadaan mereka sepanjang menjalani PdPR ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.