
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) jika keadaan banjir tidak menunjukkan perkembangan positif menjelang pembukaan semula sekolah pada minggu depan.
“Ketika ini, persiapan kita adalah pembersihan sekolah untuk persiapan pembukaan sesi persekolahan minggu hadapan.
“Kita juga melihat kepada akses pendidikan dapat dilaksanakan di Sabah, walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu,” katanya selepas sesi Town Hall Antibuli Peringkat Selangor di sini.
Menurutnya, walaupun pendidikan masih menjadi keutamaan, pihaknya tetap mengutamakan keselamatan murid dan warga pendidik secara keseluruhan.
Terdahulu, media melaporkan situasi banjir di Sabah bertambah buruk dengan jumlah mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara meningkat pagi tadi.
Jumlah mangsa meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga berbanding 2,919 orang daripada 814 keluarga petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, semua mangsa ditempatkan di 27 PPS di Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.