
Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan ramai kanak-kanak di negara ini.
“Pada masa sama, nasib lebih 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki peralatan yang bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau laptop juga harus diberikan perhatian serius.
“Kementerian Pendidikan seharusnya lebih proaktif dan segera menangani pelbagai isu dan kekangan pembelajaran agar tidak berlaku fenomena keciciran daripada arus pendidikan dalam kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudah pun masuk tahun kedua ini,” katanya dalam kenyataan.
Sayap Umno itu juga mencadangkan supaya kerajaan memperluas siaran pendidikan di televisyen dengan menukar beberapa saluran milik kerajaan kepada siaran TV Pendidikan sepenuhnya sepanjang sekolah ditutup berikutan wabak Covid-19.
“Kerajaan seharusnya memanfaatkan kuasa penuh di bawah Ordinan Darurat untuk mendesak syarikat konglomerat menyumbang komputer riba kepada murid sekolah.
“(Selain itu) mengarahkan stesyen TV swasta berbayar seperti Astro menyediakan saluran pendidikan dengan pemantauan Kementerian Pendidikan,” katanya.