PKP: Jumlah miskin luar bandar dijangka naik, kementerian selaras semula program

PKP: Jumlah miskin luar bandar dijangka naik, kementerian selaras semula program

KPLB akan menyelaraskan semula 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan di luar bandar seiring dengan Paras Garis Kemiskinan (PGK) semasa.

Analisis data kemiskinan dan program lebih bersasar juga perlu dilaksanakan untuk memberikan impak positif kepada golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyelaraskan semula 20 program berkaitan pembasmian kemiskinan di luar bandar seiring dengan Paras Garis Kemiskinan (PGK) semasa dan situasi Covid-19 yang masih melanda negara.

Menteri Abd Latiff Ahmad berkata, penyelarasan itu bagi mengelakkan pertindihan program selain menjangkakan peningkatan bilangan golongan miskin di luar bandar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita sedia maklum, PGK telah dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada 2019. Ini menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 pada April 2020 kepada 182,116,” katanya dalam ucapan Amanat Tahun Baharu 2021 KPLB menerusi Facebook kementerian tersebut hari ini.

Katanya, analisis data kemiskinan dan program lebih bersasar juga perlu dilaksanakan untuk memberikan impak positif kepada golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

Latiff berkata, KPLB juga akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Jabatan Pertanian Malaysia dalam usaha mempelopori sumber ekonomi baharu bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

“Tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada komoditi seperti sawit dan getah tetapi juga tanaman-tanaman kontan yang lain,” jelasnya.

Kementerian akan memperkenalkan strategi baharu untuk merancakkan aktiviti pelancongan desa dan ekopelancongan yang terkesan teruk berikutan penularan Covid-19.

KPLB juga akan memperkukuh sistem rantaian bekalan dan pemasaran produk usahawan luar bandar menerusi Desamall@KPLB dalam meningkatkan jualan dalam talian terutama dalam tempoh PKP.

“Selain itu, pembangunan outlet fizikal Rural Business Outlet (RBO@KPLB) dan menambah baik peranan Pusat Komuniti Desa sebagai hab (outlet) juga dapat membantu meningkatkan nilai jualan usahawan luar bandar,” katanya.

KPLB juga akan menumpukan kepada program pembangunan modal insan untuk memperkasa komuniti luar bandar dalam menjadikan golongan itu lebih berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Selain itu, katanya, institusi pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan VokasionaL (TVET) seliaan KPLB perlu menyediakan tenaga pengajar dan modul pembelajaran bagi memastikan kebolehpasaran mahasiswa seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.