
Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail serta enam wakil rakyat lain menggesa RUU itu dikaji semula, dan taklimat lebih menyeluruh diberikan kepada anggota Dewan Rakyat, termasuk kesan pada penyewa miskin bandar.
“Kami menyokong secara prinsip RUU PSB ini dengan syarat ambang persetujuan ditetapkan dengan lebih adil dan masalah perumahan sosial ditangani seperti yang telah kami cadangkan,” katanya pada sidang media selepas RUU dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.
Seksyen 19(1)(b) RUU PSB menyebut jika suatu projek pembaharuan semula bandar dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negara bagi suatu bangunan berusia 30 tahun atau kurang, ambang persetujuan hendaklah 80%. Bagi bangunan berusia lebih 30 tahun, ambang persetujuan hendaklah 75%.
Mereka percaya ambang persetujuan yang sesuai hendaklah ditetapkan lebih tinggi iaitu 85% bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 90% bagi bangunan berusia bawah 30 tahun.
“Ia demi melindungi hak pemilik rumah dan khususnya penyewa dalam perumahan sosial,” katanya membacakan kenyataan yang ditandatangani Ahli Parlimen Wong Chen (Subang); Tan Kar Hing (Gopeng); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Bacaan kedua dan ketiga RUU itu dijadualkan pada Rabu depan.
Akta Pembaharuan Semula Bandar yang dicadangkan bertujuan menggantikan perundangan dan peraturan lapuk yang mengawal selia pembangunan semula kawasan bandar yang uzur.
Pengkritik bagaimanapun berhujah, ambang persetujuan yang diturunkan mungkin menjejaskan hak penduduk minoriti, dengan memaksa mematuhi penduduk majoriti.
Kerajaan berulang kali menegaskan hak penduduk akan dilindungi melalui pampasan yang adil dan langkah-langkah perlindungan.