
Dalam rakaman video berkenaan, seorang wanita dilihat didatangi suspek yang bermotosikal ketika berada di tempat letak kereta malah turut mengeluarkan parang untuk menyerangnya.
Suspek meninggalkan mangsa terbaring selepas berjaya meragut begnya dalam kejadian jam 8.20 pagi di kawasan Eco Sanctuari,Telok Panglima Garang, Kuala Langat.
Susulan itu, Pemangku Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, suspek lelaki tempatan berumur 25 tahun ditangkap di kawasan Shah Alam oleh pasukan Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Selangor kira-kira jam 4 petang tadi, berdasarkan maklumat awam.
“Suspek telah ditahan di kawasan Shah Alam sekitar jam 4 petang iaitu kurang dari 24 jam selepas dilaporkan. Semasa tangkapan, pihak polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai milik mangsa ragut dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi tadi, mangsa berumur 51 tahun telah membuat laporan polis sebaik kejadian itu berlaku.