
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata kertas enkuiri itu dibuka selepas wanita berkenaan membuat laporan di IPD Sepang pada 28 Nov lalu.
Katanya, pengadu mendakwa sepasukan penguat kuasa SPRM menjalankan serbuan dan tangkapan terhadap suaminya, dengan seorang anggota turut mengacukan senjata ke arahnya dan suami.
“Susulan itu satu kertas enkuiri polis dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan dan siasatan dilaksanakan secara telus dan profesional, berpandukan peruntukan undang-undang.
“Semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk beri keterangan bagi memastikan setiap dakwaan diteliti dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Pada 28 Nov lalu, SPRM menafikan dakwaan yang pegawainya mengacukan senjata ke kepala ahli perniagaan kontroversi Albert Tei ketika memberkasnya.
Dalam kenyataan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata tangkapan Tei di kediamannya dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, pihaknya turut membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan yang disifatkan sebagai fitnah terhadap pegawai terbabit.
Tei sebelum ini didakwa atas lima tuduhan memberi rasuah kepada bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin, sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.