Kes kematian Covid-19 naik, Noor Hisham bimbang perkara buruk akan berlaku

Kes kematian Covid-19 naik, Noor Hisham bimbang perkara buruk akan berlaku

Sebanyak 71 orang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh sembilan hari pertama 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bukan mudah untuk petugas barisan depan menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 kerana terpaksa memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap.
PETALING JAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran “perkara buruk akan berlaku” ketika situasi jangkitan Covid-19 dalam negara dilaporkan bertambah buruk.

Menerusi catatan Facebook, Noor Hisham berkata antara Januari dan September tahun lalu, negara mencatatkan kurang daripada 100 kematian.

“Setakat 9 Jan, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 yang telah dilaporkan adalah sebanyak 71 kes. Saya bimbang perkara buruk akan berlaku.”

Dalam pada itu, Noor Hisham turut memberi gambaran, bukan mudah bagi petugas barisan hadapan menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

“Mereka terpaksa memakai PPE lengkap dengan bermandi peluh dalam keadaan panas terik sehingga liang lahad dan sehingga selesai segala urusan pengebumian.

“Semoga kita semua memahami cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh setiap petugas barisan hadapan. Marilah bantu negara dengan kita jaga kita, kita jaga keluarga kita,” katanya.

Peningkatan kes beberapa bulan lalu menjadikan jumlah jangkitan Covid-19 dalam negara kepada 133,559. Sehingga semalam, jumlah kematian dilaporkan adalah sebanyak 542.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.