2 didakwa beri pinjaman tanpa lesen, kenakan faedah kepada OKU

2 didakwa beri pinjaman tanpa lesen, kenakan faedah kepada OKU

Ong Chin Heng dan K Mathavan masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada S Mogan serta membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Ong Chin Heng (baju putih) dan K Mathavan dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan masing-masing hari ini.
TAIPING:
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret atas pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang peniaga kelainan upaya (OKU) Sabtu lalu.

Pengusaha bengkel motosikal, Ong Chin Heng, 61, yang didakwa di Mahkamah Sesyen mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di depan Hakim Nizam Zakaria.

Ong didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan memberikan pinjaman wang RM25,000 dan mengenakan faedah kepada S Mogan, 47.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bengkel motosikalnya di Taman Kami, Aulong, di sini pada 2 petang 2 Jan lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Ong diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap 1 haribulan sehingga kes selesai serta tidak boleh mengganggu mangsa.

Hakim menetapkan 14 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret, K Mathavan, 49, mengaku tidak bersalah atas kesalahan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada OKU itu di lokasi dan waktu sama.

Dia yang bekerja sebagai mekanik di bengkel Ong didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.