
Koroner Maimoonah Aid dalam keputusan inkues remaja itu berkata, selepas mendengar semua keterangan, beliau mendapati tiada siapa yang terlibat dalam kematiannya.
“Berkemungkinan besar dia mati kerana nahas iaitu dia keluar dari Sora House (chalet tempat dia dan keluarganya tinggal ketika mereka tiba di Malaysia pada 3 Ogos 2019) dengan sendiri dan kemudian hilang di ladang kelapa sawit terbiar.
“Bagi saya untuk membuat spekulasi dan menganggap penglibatan pihak ketiga tanpa fakta yang terbukti akan melanggar tugas saya. Oleh itu siasatan ini ditutup,” katanya.
Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas tiba bersama keluarganya di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60km di selatan ibu negara.
Mayat Nora Anne ditemui 9 hari kemudian pada 13 Ogos lalu, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya, susulan operasi pencarian besar-besaran pihak berkuasa.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja itu tidak mempunyai unsur jenayah dan beliau disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.