
Bedah siasat pertama yang dijalankan di Hospital Seri Manjung, Perak, merekodkan punca kematian sebagai paru-paru berair (pulmonary edema), yang didakwa dialami Soosaimanicckam semasa menjalani latihan tentera laut di pangkalan KD Sultan Idris di Lumut.
Pada 2023, Mahkamah Koroner Ipoh mengeluarkan keputusan terbuka, menyatakan bahawa mahkamah tidak dapat menentukan siapa yang bertanggungjawab atas kematian tersebut.
Bagaimanapun, pada tahun berikutnya, Mahkamah Tinggi Ipoh mengetepikan dapatan koroner dan memutuskan bahawa berdasarkan keterangan pakar forensik, Soosaimanicckam meninggal dunia akibat leptospirosis, dan kematiannya adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai tentera laut menafikan rawatan perubatan buatnya.
Mahkamah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai bunuh (homicide).
Mempersoalkan penemuan yang bercanggah itu, abang Soosaimanicckam, Charles Joseph, mendesak siasatan dilakukan bagi menyemak sama ada prosedur yang betul telah dipatuhi dalam bedah siasat pertama.
“Kami mahu MPM siasat sama ada (koroner) patuhi SOP, dan sama ada wujud sebarang usaha sembunyi fakta (cover-up) pada peringkat awal,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan laporan kepada MPM hari ini.
MPM mempunyai bidang kuasa tatatertib terhadap pengamal perubatan berdaftar di bawah Seksyen 29(1) Akta Perubatan 1971, yang memberikannya kuasa untuk menyemak kelakuan doktor terbabit.
Charles turut mempersoalkan sama ada pegawai perubatan tersebut layak mengetuai bedah siasat berkenaan, dan mengapa pakar tidak dipanggil untuk mengendalikan bedah siasat pertama.
Beliau memetik notis dari IPD Manjung bertarikh 30 Sept, yang menyatakan kes tersebut dibuka semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan membunuh, dan menggesa polis supaya menyiasat laporan bedah siasat awal ‘dengan lebih mendalam’.
Ketua Biro Aduan dan Kebajikan Parti Rakyat Malaysia Lee Hoi Eng, yang mengiringi keluarga tersebut bersama pasukannya, menyeru pihak berkuasa supaya bertindak secara telus.
“Walaupun ketua polis negara telah membuka semula kes ini, saya bimbang ia akan sekali lagi berakhir sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) sekali lagi.
“Jika ini masih tidak dapat diselesaikan, kami mungkin bawa perkara ini kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya.