
Dalam pembelaan terhadap saman yang difailkan Indira, mereka berkata, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan pegawai lain sudah mengambil langkah mengesan Riduan dan memulangkan Prasana Diksa kepada ibunya.
“KPN tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah kerana kami masih mencari Riduan,” menurut pernyataan pembelaan itu.
Mereka berkata, tindakan polis termasuk menyenaraikan Riduan sebagai individu dikehendaki, memohon Interpol mengeluarkan amaran dan mendapatkan bantuan negara lain untuk mengesannya.
Indira memfailkan saman terhadap KPN dan kerajaan bulan lalu, dengan mendakwa tiada tindakan dalam melaksanakan waran komital untuk menangkap Riduan dan memulangkan Prasana kepadanya.
Riduan melarikan diri dengan membawa Prasana pada 2009.
Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan 28 Okt lalu, Indira berkata, KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah pada 2016 mengarahkan KPN melaksanakan waran komital terhadap Riduan, selepas beliau disabitkan bersakah menghina mahkamah kerana enggan menyerahkan Prasana kepada ibunya.
Polis berkata, 72 laporan dibuat untuk meminta mereka mengesan Riduan, dengan ada yang memberikan beberapa maklumat.
“Bagaimanapun, beliau tidak dapat dikesan dan kami percaya Riduan sentiasa berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mengelakkan dikesan.”
Mereka berkata, sebuah pasukan petugas yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang, sudah ditubuhkan di mana mereka menyenaraikan bantuan daripada pelbagai agensi dan kementerian untuk mendapatkan maklumat berhubung pergerakan Riduan.
KPN dalam sidang media tahun ini, berpegang teguh kepada janjinya untuk Indira mendapat ‘pengakhiran gembira’.
“Beliau turut menekankan polis sedang mencari Riduan, tetapi tidak mengumumkan usaha mereka kepada media atas alasan kepentingan awam,” kata mereka.