Mahkamah tolak permohonan batal saman keluarga Wan Faris

Mahkamah tolak permohonan batal saman keluarga Wan Faris

Mahkamah Tinggi ambil kira siasatan berterusan selepas kejadian, termasuk inkues serta tidak munasabah menganggap tuntutan sudah luput.

 Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman s
Mahkamah Koroner pada 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman akibat perbuatan individu tidak dikenali. (Gambar TikTok)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman difailkan keluarga Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz yang maut di Kok Lanas pada 2013.

Hakim Mohd Rosli Yusoff membuat keputusan itu selepas prosiding dalam talian hari ini, lapor Berita Harian.

Peguam plaintif Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin berkata mahkamah mendapati kes itu tidak wajar dibatalkan secara ringkas dan perlu dibicarakan.

Katanya, mahkamah mengambil kira siasatan berterusan selepas kejadian, termasuk inkues bermula 2016 hingga 2018, serta tidak munasabah menganggap tuntutan sudah luput.

Permohonan defendan ditolak dengan kos ditentukan kemudian.

Mahkamah menetapkan 18 Mei untuk pengurusan kes dan 5 hingga 7 April tahun depan bagi perbicaraan penuh.

Ibu mangsa, Ruhani Hussin, 71, bersyukur selepas menunggu lebih sedekad untuk keadilan.

Pada 2013, Wan Ahmad Faris ditemui tergantung di asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman.

Walaupun bedah siasat awal menyatakan tiada unsur jenayah, Mahkamah Koroner pada 2016 memutuskan kematiannya akibat perbuatan individu tidak dikenali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.