Dr M sedia jadi saksi kes pengundi Gombak saman Azmin

Dr M sedia jadi saksi kes pengundi Gombak saman Azmin

Mempersoalkan kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Azmin Ali mematangkan demokrasi, kata Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sedia menjadi saksi di mahkamah dalam kes pengundi Gombak saman Ahli Parlimen mereka, Azmin Ali, yang didakwa melakukan penipuan dan melanggar kewajipan fidusiari.

Beliau berkata mahkamah forum paling sesuai untuk mengesahkan dakwaan terhadap menteri kanan itu.

“Saya melihat keberanian rakyat mempersoal kredibiliti dan integriti seorang Ahli Parlimen seperti Azmin sebagai satu proses mematangkan pendemokrasian negara,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, 10 plaintif mahu suatu pengisytiharan bahawa Azmin, selaku Ahli Parlimen, mempunyai tugas fidusiari dan/atau pemegang amanah dalam hubungannya dengan pengundi; bahawa Azmin sudah melakukan tort penipuan terhadap mereka, dan sudah memungkiri sumpah perlembagaan.

Plaintif berhujah Azmin membuat representasi beliau bertanding pilihan raya 2018 untuk menyingkir Barisan Nasional dan pegawai awam yang korup, selepas itu menyebabkan peletakan kerajaan Pakatan Harapan dan menyertai pentadbiran Perikatan Nasional yang turut mengandungi BN, termasuk orang yang Azmin akui dituduh terlibat dalam kegiatan rasuah.

Mahathir hari ini berkata penyata tuntutan plaintif mengandungi semua perkara yang telah beliau nyatakan “berulang kali”, antaranya perpecahan PH adalah akibat Langkah Sheraton.

“Terdapat juga pernyataan bahawa Azmin kini bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin dari BN termasuk mereka yang telah dan/atau masih menghadapi tuduhan-tuduhan jenayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.