
Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, kecuali jika terdapat perubahan atau perkara yang tidak dapat dielakkan maka perbahasan mungkin tidak dilaksanakan.
“Setakat ini kalau ikut usul memang ada bahas, kecuali pada hari tersebut kita berfikiran sebaliknya atau ada permintaan sebaliknya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohamad Zahir berkata, usul undi percaya yang dibawa itu juga bukanlah sesuatu yang janggal kerana ia memang termaktub dalam peraturan DUN, malah ada dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.
Katanya, perkara itu juga boleh dirujuk dalam amalan negara Komanwel kerana usul undi percaya pernah berlaku.
“Ini bukan satu inovasi baru, ini juga bukan satu kejanggalan atau di luar kebiasaan, ia ada dalam amalan dewan,” katanya.
Ditanya sama ada usul itu boleh ditarik balik, Mohamad Zahir berkata ia boleh dilakukan oleh pembawa usul dan sebab kenapa usul itu dibawa juga bergantung kepada pembawa usul.
Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abdul Manaf Hashim sebelum ini dilaporkan membawa usul undi percaya kepada Ahmad Faizal pada sidang DUN yang akan berlangsung 4 Dis ini.
Perkembangan itu berikutan ketidakpuasan hati Umno Perak, yang sebelum ini meminta Faizal berhenti “bermain politik”.
Ia menyusuli pelantikan seorang wakil rakyat parti itu, iaitu ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim, sebagai setiausaha politik Faizal yang dikatakan dibuat tanpa kebenaran Penegrusi Umno Perak, Saarani Mohamad.
Berikutan itu, Saarani dilaporkan berkata Faizal merendah-rendahkan Umno apabila berkata, beliau tidak perlu mendapat kebenaran parti itu untuk melantik ADUN berkenaan.