Ahli Parlimen kemuka usul bahas keputusan Fifa

Ahli Parlimen kemuka usul bahas keputusan Fifa

Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin berkata hal itu menimbulkan persoalan serius berkait tatakelola sukan kebangsaan.

malaysia harimau malaya vs vietnam
Wakil rakyat DAP Chong Zhemin berkata pertikaian mengenai status warisan tujuh pemain bola sepak adalah perkara berkepentingan awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin mengemukakan usul kepada Pejabat Speaker Dewan Rakyat bagi membahaskan alasan dikeluarkan Fifa dalam keputusan yang mempertikaikan kelayakan tujuh pemain warisan untuk mewakili Malaysia.

Dalam usul berkenaan, Chong berkata hal itu menimbulkan persoalan serius berkait tatakelola sukan kebangsaan, proses naturalisasi atlet serta tahap kawal selia ke atas dokumen rasmi negara.

“Terdapat kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan pemalsuan dokumen rasmi yang memerlukan penelitian menyeluruh dan tindakan segera oleh pihak berkuasa.

“Oleh yang demikian perkara ini jelas merupakan isu kepentingan awam yang mendesak,” katanya.

Chong berkata, Parlimen perlu membahas dan memutuskan langkah segera kerajaan dengan menjelaskan kepada rakyat bentuk tindakan pentadbiran tatatertib dan perundangan yang akan diambil ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan individu yang terlibat.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca kegagalan proses verifikasi dan sama ada berlaku pemalsuan dokumen rasmi negara.

Chong turut menekankan penetapan garis panduan dan prosedur pengesahan dokumen naturalisasi atlet yang lebih ketat termasuk semakan silang dengan rekod asal luar negara, sebelum sebarang pengesahan kelayakan dimajukan kepada badan sukan antarabangsa.

Penjelasan bertulis penuh Fifa mengenai kes tatatertib terhadap FAM menyatakan sijil dikemukakan dalam prosiding kelayakan pemain tersebut telah dipalsukan.

Pemain yang terlibat adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Fifa berkata, sekretariatnya telah memperoleh sijil kelahiran asal datuk dan nenek pemain berkenaan secara terus daripada pejabat pendaftaran luar negara dan membandingkannya dengan dokumen dikemukakan FAM.

Hasil siasatan menunjukkan butiran dalam rekod keturunan pemain telah diubah, di mana tempat kelahiran datuk dan nenek mereka dalam dokumen asal — seperti Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda — telah ditukar kepada lokasi di Melaka, Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak.

FAM menegaskan pendiriannya untuk membuat rayuan terhadap sekatan dikenakan Fifa, sambil menyatakan badan bola sepak antarabangsa itu tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pula menggesa FAM memberi maklum balas secara terbuka terhadap dapatan Fifa, sambil menyatakan penyokong bola sepak Malaysia berasa ‘terluka, marah, dan kecewa’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.