
Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengumumkan perkara itu selepas majoriti ahli Parlimen memberi sokongan menerusi undi belah bahagi.
“Tidak hadir 20, tidak bersetuju 95 dan bersetuju 105, usul disetujukan,” kata Azhar selepas undian belah bahagi peruntukan buat 5 kementerian di bawah JPM, iaitu Hal Ehwal Undang-undang, Ekonomi, Agama, Sabah dan Sarawak dan Tugas-tugas Khas.
Dua lagi kerusi Parlimen disandang Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Gerik) yang meninggal dunia, masih kosong.
Terdahulu, Azhar mahu undi suara dibuat memandangkan suara ahli Parlimen Perikatan Nasional lebih kuat.
Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang menggesa undi belah bahagi diadakan, dengan lebih 15 ahli Parlimen berdiri untuk memberikan sokongan.
Azhar kemudiannya memberi 10 minit untuk ahli Parlimen mengundi bagi RUU itu.
Ketika proses undian diadakan, ahli Parlimen pembangkang berdiri untuk membantah Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bahru) memasuki dewan ketika pengiraan undi.
Sebelum itu, sesi penggulungan bagi JPM dilakukan oleh lima menteri dimulakan dengan Maximus Ongkili, Mohd Redzuan Md Yusof, Mustapa Mohamad, Takiyuddin Hasan dan Zulkifli Mohamad.
JPM diperuntukkan RM11.69 bilion dalam Belanjawan 2021, iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Selepas JPM, perbahasan peringkat sama bagi Kementerian Kewangan akan berlangsung dan diputuskan petang ini, manakala persidangan sidang Dewan Rakyat hari ini turut dilanjutkan hingga jam 4 petang.
Ahli Parlimen akan meneruskan perbahasan peruntukan untuk kementerian lain.
Khamis lalu, Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322 bilion diluluskan peringkat dasar dengan suara majoriti, selepas ahli Parlimen pembangkang dan bebas gagal mendapatkan 15 ahli Parlimen untuk menyokong undi belah bahagi.