Sifar miskin tegar, projek jambatan Labuan antara legasi Zaliha

Sifar miskin tegar, projek jambatan Labuan antara legasi Zaliha

Dr Zaliha Mustafa digugurkan daripada barisan Jemaah Menteri dan digantikan Hannah Yeoh yang sebelum ini menteri belia dan sukan.

zaliha mustafa
Dr Zaliha Mustafa berharap menteri baharu yang dilantik dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.
PETALING JAYA:
Kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar, membanteras kartel bazar dan menggerakkan projek infrastruktur kritikal di Wilayah Persekutuan Labuan antara legasi utama Dr Zaliha Mustafa sepanjang menerajui Jabatan Perdana Menteri bagi portfolio itu.

Sambil menyatakan penghargaan atas kepercayaan diberikan kepadanya selama hampir dua tahun, Zaliha merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja serta agensinya atas komitmen dan kerjasama sangat baik sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya percaya setiap keputusan diambil oleh perdana menteri dibuat dengan penuh pertimbangan demi memastikan pentadbiran terus stabil dan fokus kepada agenda reformasi.

“Dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Zaliha digugurkan daripada barisan Jemaah Menteri dalam rombakan kedua pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan digantikan dengan Hannah Yeoh yang sebelum ini menteri belia dan sukan.

Sementara itu, Zaliha berkata, kerajaan berjaya mencapai status sifar miskin tegar menerusi pendekatan berasaskan data dan bantuan bersasar melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (Puji).

“Di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan keboleh hubungan.

“Ini termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan–Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan–Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan,” katanya.

Beliau turut berharap menteri baharu yang dilantik dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

“Sebagai anggota kerajaan Madani, saya akan terus memberikan sokongan penuh kepada dasar-dasar reformasi demi negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.