Pembangkang persoal Ahli Parlimen Keningau datang Parlimen

Pembangkang persoal Ahli Parlimen Keningau datang Parlimen

Mereka berkata Jeffrey Kitingan sepatutnya masih kuarantin kendiri sekembali dari Sabah.

Jeffrey Kitingan.
KUALA LUMPUR:
Pembangkang mempersoalkan kehadiran Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan, di Dewan Rakyat, mengatakan beliau sepatutnya masih kuarantin kendiri sekembali dari Sabah.

Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) yang membangkitkan perkara itu berkata: “Saya difahamkan ada dalam kalangan kita baru pulang dari Sabah iaitu Keningau, yang sepatutnya berada dalam kuarantin atau tidak. Mohon speaker jelaskan perkara ini.”

Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mendesak Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman, mendapatkan penjelasan Kitingan sama ada beliau masih dalam kuarantin atau tidak.

“Saya difahamkan Keningau hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah pada 12 Nov lalu. Jika dikira beliau tidak sepatutnya berada dalam dewan ini kerana asas kita dikuarantin adalah tidak mahu ahli Parlimen dalam Dewan ini dijangkiti Covid-19,” tegasnya.

Azalina kemudian meminta masa untuk mendapatkan penjelasan daripada pegawai Parlimen mengenai perkara itu.

“Berdasarkan jawapan rasmi daripada Parlimen, Keningau dibenarkan hadir dengan kebenaran klinik di Parlimen. Beliau dapat ‘release order’ selepas tamat kuarantin dari Kementerian Kesihatan,” katanya.

Azis kemudian menuduh Dewan Rakyat “double standard” kerana membenarkan wakil rakyat pemerintah hadir sidang Parlimen.

Azalina menjelaskan sebarang perkara berkaitan SOP kesihatan di Dewan Rakyat boleh dipanjangkan ke Speaker Azhar Harun.

Azhar kemudian berkata, beliau dimaklumkan Jeffrey sudah diberikan arahan pelepasan dan gelang merah jambu beliau dipotong pejabat kesihatan daerah Lembah Pantai, dengan menambah wakil rakyat Sabah itu menjalani kuarantin bermula 12 Nov hingga 23 Nov.

Azis kemudian mempersoalkan jika Jeffrey benar-benar menjalani kuarantin 14 hari, mengapa ahli Parlimen itu didapati berada di Kota Kinabalu pada 13 Nov.

Azhar berkata, beliau hanya menyampaikan maklumat diterima daripada pihak berkuasa dan menegaskan sudah mengarahkan Jeffrey meninggalkan Dewan sehingga mendapatkan maklumat rasmi Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) mencadangkan usul supaya ahli Parlimen Keningau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas perbuatannya yang boleh dianggap menghina Majlis.

“YB Keningau menghadiri Dewan Rakyat pada Selasa (24 Nov) walaupun beliau dilaporkan menghadiri DUN Sabah pada 12 Nov iaitu 12 hari lalu,” katanya.

Katanya, tindakan itu mengingkari arahan Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 9 Okt yang mewajibkan semua ahli Parlimen Sabah yang menghadiri Dewan Rakyat untuk menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

“Dewan yang mulia ini memandang serius perbuatan YB Keningau yang menghadiri Dewan Rakyat walaupun beliau belum menghabiskan tempoh kuarantin selama 14 hari dan mendedahkan semua ahli Parlimen kepada risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.