
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata, pandemik Covid-19 menjejaskan hampir semua kegiatan ekonomi terutama industri ternakan kerana permintaan kepada telur berkurang manakala harga pasaran bagi makanan ayam meningkat.
Katanya, PKP menyebabkan industri makanan mengehadkan operasi dan ia menjurus kepada pengurangan permintaan daripada restoran, hotel dan kantin sekolah.
“Namun, pengeluaran telur berada pada tahap sama dan (ia) menyebabkan berlaku lambakan telur di ladang sehingga menyebabkan kejatuhan harga di pasaran,” katanya.
Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) bertanya mengenai impak pandemik terhadap pengeluaran telur tempatan kerana industri berkenaan dikatakan mengalami kerugian jutaan ringgit berikutan kenaikan harga makanan ayam.
Kiandee berkata, berdasarkan harga pasaran telur gred C, harga sebiji telur menurun 38% hingga 21 sen pada November berbanding 34 sen pada April dan ia menyebabkan pengurangan margin keuntungan kepada pengeluar telur.
Selain itu, beliau berkata harga jagung meningkat 15.2% hingga RM1,100 1 tan pada November berbanding RM955 pada April.
Harga kacang soya juga meningkat 9.4% hingga RM2,100 1 tan pada November berbanding RM1,920 pada April dan ia ditentukan oleh harga pasaran.
Kiandee berkata, kementeriannya sedang mencari langkah intervensi jangka pendek dan mengadakan pertemuan dengan pengeluar makanan haiwan untuk mencari penyelesaian terbaik.