Semua calon kalah, Bersatu terus derita di Sabah

Semua calon kalah, Bersatu terus derita di Sabah

Kejayaan PAS sekali lagi bayangi Bersatu dan tekanan presidennya Muhyiddin Yassin makin meningkat ketika beliau berdepan rasa tak puas hati dalam parti.

Ronald Kiandee
Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee antara nama besar yang diketengahkan Bersatu tetapi beliau kalah dalam saingan lapan penjuru di kerusi Sugut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Selepas berdepan tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpin Sabah selepas PRU 2022, nasib Bersatu di negeri itu bertambah buruk apabila semua 33 calonnya tewas dalam PRN.

Prestasi ini amat berbeza berbanding 11 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2020, dan kejayaan bersejarah PAS merampas kerusi Karambunai sudah tentu menambah luka kepada Bersatu.

Kedua-dua parti itu bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ketua PN Sabah Ronald Kiandee merupakan antara nama besar yang diketengahkan Bersatu, namun beliau tewas kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) James Ratib, yang dipilih untuk penggal keempat sebagai Adun Sugut.

Ini bukanlah keputusan yang terlalu mengejutkan memandangkan tempoh singkat yang dimiliki Bersatu untuk menggerakkan jentera dan sokongan diperlukan bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

Pengerusi GRS Hajiji Noor mengetuai pemimpin Bersatu Sabah yang keluar beramai-ramai pada Disember 2022, selepas PRU15, apabila mereka menyokong kerajaan perpaduan, menyebabkan parti itu tidak mempunyai sebarang wakil dalam DUN ketika itu.

Prestasi buruk Bersatu secara tidak langsung menambah kebimbangan Presiden, Muhyiddin Yassin, dengan bekas perdana menteri itu berdepan rasa tidak puas hati dalam parti serta desakan agar beliau berundur menjelang PRU16.

Desakan supaya beliau melepaskan jawatan presiden Bersatu kepada timbalannya yang juga Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, dijangka meningkat selepas keputusan pilihan raya Sabah.

Komponen PN, Gerakan, turut menyaksikan tiga calonnya tewas teruk kepada Warisan di Luyang, Elopura dan Tanjong Papat, meneruskan rekod buruk dalam pilihan raya di bawah gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.