
Kekalahan seorang lagi calon pembangkang, Ronald Kiandee dari Perikatan Nasional (PN) pula dilihat berpunca daripada sentimen semakin meningkat “Sabahan First”.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, rakyat Sabah lebih cenderung menyokong parti tempatan dan menolak Bersatu yang diwakili Kiandee kerana menganggapnya parti dari Semenanjung.
Menurutnya, Aliakbar bekerja keras di peringkat akar umbi sepanjang lima tahun ini, berusaha mendekati dan menembusi komuniti setempat.
“Personalitinya disenangi ramai orang, termasuk bukan Islam,” katanya sambil menambah politik identiti yang sering dikaitkan dengan PAS mungkin bukan faktor utama membawa kepada kemenangan Aliakbar, memandangkan kerusi itu mempunyai populasi bukan Islam agak ramai.
“Saya percaya beliau menang kerana keperibadiannya dan juga kerana Barisan Nasional hanya menang kerusi itu pada 2020 dengan majoriti tipis 16 undi,” katanya kepada FMT.
Bilcher Bala dari UMS berkata, kemenangan tipis PAS itu menunjukkan masa depannya di Sabah bergantung sejauh mana ia mampu memperluaskan daya tarikannya melangkaui identiti agama dan benar-benar mendalami isu sosioekonomi tempatan.
Pemerhati politik, Johan Ariffin Samad, berkata kemenangan Aliakbar tidak terlalu mengejutkan kerana beliau Adun dilantik pada 2020, yang memberinya peluang untuk memahami masyarakat serta mula mendekati mereka.
“Jika ia (PAS) berkelakuan baik dan tidak memainkan sentimen agama, ia boleh mengukuhkan kedudukannya. Tetapi jika mereka memainkan isu perkauman dan agama seperti di Semenanjung, maka mereka tidak akan bertahan lama.”
Aliakbar, yang berketurunan Pakistan-Murut, merupakan bekas pensyarah di UMS dan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang geografi bandar. Beliau memenangi kerusi Karambunai semalam dalam kempen pilihan raya pertamanya, sekali gus memberi kemenangan pertama buat PAS di Malaysia Timur.
Kiandee tewas kerana sentimen ‘Sabahan first’
Lee berkata, kekalahan Ketua PN Sabah, Ronald Kiandee di Sugut akibat sentimen wilayah semakin kuat dalam kalangan rakyat Sabah.
Jelasnya, rakyat Sabah lebih menyokong parti tempatan dan menolak Bersatu yang diwakili Kiandee kerana melihatnya parti dari Semenanjung.
Kiandee tewas kepada James Ratib dari Gabungan Rakyat Sabah. “PN mengalami kekalahan besar. James sangat kuat di Sugut dan Kiandee pernah kalah kepadanya dalam pemilihan parti (ketika James bersama Umno).”
Namun, faktor paling kuat ialah kecenderungan rakyat kepada parti tempatan dan ini berkait rapat dengan hak Sabah untuk mendapat 40% hasil di bawah Perjanjian Malaysia 1963.”
Lee turut memberi amaran kepada PN, prestasi buruknya dalam PRN kali ini mungkin berulang pada PRU16 memandangkan rakyat Sabah dilihat mahu mencontohi Sarawak, di mana ahli politik tempatan memainkan peranan penting di peringkat negeri dan persekutuan.
Bilcher berkata, kekalahan PN di Sabah menunjukkan pengundi semakin mengutamakan identiti tempatan dan autonomi.
Jelasnya, kegagalan PN menterjemahkan momentumnya sebagai gabungan pembangkang di peringkat persekutuan dalam politik Sabah menekankan hakikat isu tempatan seperti pembangunan infrastruktur, bekalan air dan elektrik mendominasi wacana pilihan raya.
“Melainkan PN menyusun semula strateginya untuk mengintegrasikan naratif tempatan dan memperkukuh kehadiran di akar umbi, prestasi buruknya mungkin berterusan sehingga PRU akan datang, sekali gus mengukuhkan imejnya sebagai gabungan kurang mendapat sambutan di luar Semenanjung.”
PN hanya menang satu daripada 42 kerusi ditandingi, berkongsi nasib malang dengan lawan persekutuannya, Pakatan Harapan yang hanya menang di Melalap.