Putrajaya digesa sasar bantuan kepada ibu tunggal, OKU

Putrajaya digesa sasar bantuan kepada ibu tunggal, OKU

Kajian Unicef mendapati ekonomi 2 golongan itu paling lambat pulih daripada impak PKP.

Dua kumpulan berkata, ibu tunggal dan OKU di kawasan berpendapatan rendah memerlukan lebih banyak perlindungan.
PETALING JAYA:
Putrajaya digesa menyediakan perlindungan sosial tambahan kepada ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) di kawasan berpendapatan rendah, susulan satu kajian mendapati mereka paling lambat pulih daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana kebanyakannya tidak mendapat bantuan kerajaan.

Menurut laporan Unicef baru-baru ini, pendapatan penengah isi rumah dalam kalangan komuniti itu perlahan menghampiri tahap 2019, di mana keluarga yang ketua isi rumahnya terdiri daripada wanita atau OKU masih berdepan kekurangan pendapatan berbanding sebelum ini.

Laporan itu menyebut, kedua-dua kumpulan itu kemungkinan besar tidak mempunyai sebarang simpanan.

Jurucakap Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam) memberitahu FMT, ibu tunggal di kawasan berpendapatan rendah berdepan cabaran unik yang perlu ditangani kerajaan.

“Kita berdepan ramai wanita yang ditinggalkan suami. Namun, mereka masih berkahwin secara sah.”

Beliau mendapati kerajaan hanya mengiktiraf wanita yang bercerai dan janda sebagai ibu tunggal dan menggesa kerajaan memberi kelonggaran dalam menentukan kelayakan mendapat bantuan.

Katanya, kerajaan perlu mencari jalan mengiklankan secara meluas faedah disediakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta program seumpamanya bagi memastikan pengambilan mencukupi.

Beliau berkata, mereka yang bekerja sendiri memerlukan akses lebih baik kepada perlindungan sosial.

Sementara itu, V Murugeswaran, presiden Persatuan Orang Kelainan Upaya Damai, berkata kehilangan pekerjaan sangat memberi kesan kepada OKU.

“Bagi OKU untuk diambil bekerja sepenuh masa, beliau perlu melalui proses sangat panjang. Jika beliau diberhentikan, sukar untuk beliau mencari pekerjaan lain,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Putrajaya perlu memberi insentif kepada syarikat untuk mengambil pekerja kelainan upaya yang mencari pekerjaan rasmi kerana suntikan tunai hanya penyelesaian jangka pendek.

Beliau menggesa kerajaan meneliti pemberian geran untuk membantu OKU menceburi bidang perniagaan dan memperluas faedah KWSP serta Perkeso kepada mereka yang memilih untuk bekerja sendiri.

Pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Kebangsaan Malaysia memuji Putrajaya atas usahanya membantu golongan miskin, tetapi pelaburan lebih besar diperlukan menjelang 2021.

“Kerajaan perlu menjaga golongan ini selama 12 bulan lagi. Ia memerlukan sekitar RM40 bilion untuk mengekalkan perkara sama seperti bantuan yang diberikan sekarang, tetapi itu masih tidak mencukupi.

“Mungkin ia perlu memberi peruntukan lebih banyak, seperti RM60 bilion hingga RM70 bilion, untuk benar-benar membuat perubahan kerana golongan ini sangat memerlukan bantuan.”

Beliau berkata, walaupun perlindungan lebih luas KWSP akan membantu dalam mengagihkan bantuan kerajaan, pendekatan lebih bersasar akan lebih berkesan dan beliau mencadangkan baucar makanan diperkenalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.