
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan tersebut termasuk mengambil kira peningkatan kes di kawasan terbabit.
Katanya, cadangan itu juga termasuk meningkatan peraturan tanpa menutup sektor ekonomi, di samping terus mengutamakan kesihatan rakyat.
“Saya difahamkan, esok MKN akan membentangkan cadangan langkah yang perlu dilakukan di Selangor misalnya, di Wilayah Persekutuan.
“Kita tak menyekat sektor ekonomi. Kalau kita tak benar aktiviti ekonomi beroperasi, kehidupan rakyat makin terjejas, terutama mereka berpendapatan rendah, bekerja sendiri dan mendapat gaji secara harian.
“Itu kumpulan yang perlu kita jaga. Pada masa sama kita nak jaga kesihatan rakyat.
“Kita akan lihat apa perancangan mereka (MKN), sama ada kita boleh perketat (peraturan) bukan dengan menutup sektor ekonomi, tapi mungkin dari segi masa (operasi), sebagai contoh.
“Banyak perkara lain boleh dilakukan, tapi semuanya akan terjawab esok, apabila MKN umum,” katanya, dengan menambah bahawa langkah untuk mengimbangi ekonomi dan kesihatan awam bukan perkara yang mudah.
Ismial berkata demikian ketika ditanya sama ada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di kawasan PKPB perlu dilihat semula susulan peningkatan kes di Lembah Klang walaupun selepas 3 minggu ia dilaksanakan.
Ismail mengakui walaupun PKPB dilaksanakan di Lembah Klng kes positif Covid-19 masih meningkat.
Katanya, kerajaan juga menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak, termasuk desakan supaya SOP di kawasan PKPB diperketatkan.
“Ada cadang supaya kita mesti proaktif di zon kuning. Walaupun masih kuning, PKPB patut dilaksanakan dan tidak menunggu menjadi zon merah.
“Kita akan bincang perkara ini dengan lebih terperinci sebab kita tak mahu bila diumumkan, ada tak setuju, ada yang setuju diperketat,” katanya.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga akan membentangkan cadangan mereka secara khusus untuk kawasan PKPB.
Mengulas cadangan supaya persidangan Parlimen dijalankan secara maya susulan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan seorang anggota Dewan Negara, Ismail berkata, persidangan akan berjalan seperti biasa, dengan SOP lebih ketat, termasuk memendekkan waktu persidangan dan mengehadkan jumlah pegawai ahli Parlimen kepada 2 orang bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak tersebut.
“Orang awam juga tidak dibenarkan masuk ke Parlimen,” katanya.
Katanya, persidangan maya tidak boleh dilakukan kerana perlembagaan persekutuan dan peraturan Parlimen menetapkan bahawa ahli Parlimen perlu hadir secara fizikal untuk mengundi, termasuk melibatkan Belanjawan 2021 yang akan dibentang Jumaat ini.
“Bajet penting dan mesti diluluskan dalam Parlimen. Jika tak diluluskan, perbelanjaan tak boleh dibuat, projek tak dapat dilaksanakan, gaji kakitangan kerajaan tak boleh dibayar,” katanya.
Dalam perkembangan sama ketika ditanya mengenai SOP semasa sambutan perayaan Deepavali, Ismail berkata, Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique telah membuat pembentangan mengenainya dan akan diumumkan dalam masa 1-2 hari lagi.