Penduduk Cameron Highlands gesa kerajaan bina rumah mampu milik baharu

Penduduk Cameron Highlands gesa kerajaan bina rumah mampu milik baharu

Ini berikutan perumahan kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah yang terakhir di Cameron Highlands dibina lebih 40 tahun lalu.

Banyak pangsapuri PR1MA di Tanah Rata dikatakan dibeli oleh pelabur dan dijadikan penginapan pelancong.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Cameron Highlands mahu kerajaan memperuntukkan dana bagi membina rumah mampu milik baharu kepada penduduk di kawasan tanah tinggi itu.

Ini berikutan perumahan kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah yang terakhir di Cameron Highlands dibina lebih 40 tahun lalu.

Jawatankuasa itu yang disokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan petisyen kepada kerajaan sebagai sebahagian permintaan mereka untuk membina rumah kos rendah di kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan memberitahu FMT, terdapat “lebih 1,000 keluarga B40 di Cameron Highlands” yang akan mendapat manfaat daripada perumahan mampu milik baru itu.

Dua pembangunan perumahan bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dibina tetapi harga permulaan RM200,000 terlalu tinggi kepada kebanyakan golongan berpendapatan B40.

“Jika lihat di Selangor, perumahan kos rendah bermula dari RM42,000 tetapi di Cameron Highlands, ia tiada perumahan sebegini. Perumahan baru mesti disubsidikan kerajaan supaya rakyat dapat membelinya pada harga sekitar RM42,000 hingga RM50,000 yang setanding tempat lain,” katanya.

Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong menyokong cadangan itu dan berkata keperluan kepada perumahan B40 “sangat mendesak”.

Beliau berkata, unit perumahan bawah PR1MA sedia ada boleh mencecah RM400,000 selepas pemaju menyelaraskannya berdasarkan permintaan dan akhirnya kebanyakan dibeli pelabur dan kemudian dijadikan tempat penginapan pelancong.

“Anda boleh lihat ruang tempat letak kereta di PR1MA Tanah Rata sentiasa dipenuhi kenderaan pelancong semasa cuti umum atau hujung minggu. Pejabat saya menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, antara sebab perumahan PPR baru tidak dibangunkan adalah kenaikan kos pembinaan di Cameron Highlands, sebuah kawasan pengurusan khusus yang menjadikan sebarang bangunan di kawasan itu “jauh lebih mahal daripada pembangunan di tanah rendah.”

Chiong berkata, komunikasi dan penyelarasan antara pemegang taruh diperlukan bagi memastikan setiap projek yang dibina adalah bersesuaian, termasuk mengambil kira faktor alam sekitar.

Sementara itu, ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor tidak memberikan respons kepada FMT ketika diminta mengulas perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.