SJKP lulus 90,779 pembiayaan rumah berjumlah RM21.5 bilion

SJKP lulus 90,779 pembiayaan rumah berjumlah RM21.5 bilion

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu berkata 89.56% pemohon terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

perumahan baru
Pada pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Skim Jaminan Kredit Perumahan akan diperluaskan dengan menawarkan jaminan kepada 80,000 lagi pembeli rumah pertama.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 90,779 permohonan pembiayaan berjumlah RM21.5 bilion telah diluluskan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu individu dalam kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah, setakat ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu, berkata daripada jumlah itu, 89.56% terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

Beliau berkata, jumlah tersebut melibatkan 15,000 peminjam berumur 18 hingga 25 tahun, kira-kira 31,000 peminjam (26 hingga 30 tahun), 22,356 peminjam (31 hingga 35 tahun) dan 12,799 peminjam (36 hingga 40 tahun).

“Kalau melihat kepada Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, terdapat kelulusan tambahan untuk SJKP berjumlah RM20 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan Madani dan ini merupakan satu berita gembira yang boleh disampaikan kepada rakyat apabila belanjawan ini diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin mengetahui inisiatif kerajaan bagi membantu individu tanpa pendapatan tetap seperti pekerja gig memiliki rumah sendiri pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas, mengumumkan SJKP akan diperluaskan dengan menawarkan jaminan kepada 80,000 lagi pembeli rumah pertama.

Anwar berkata, had keseluruhan jaminan turut ditingkatkan kepada RM20 bilion, berbanding RM10 bilion sebelum ini, bagi membantu lebih ramai pekerja gig dan individu bekerja sendiri memiliki rumah.

Sementara itu, Aiman Athirah berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah, termasuk menyediakan skim sewa beli bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.