
J Solomon daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menggesa pelaksanaan segera gaji sara hidup untuk semua pekerja, dengan menegaskan bahawa ia mesti dilaksanakan tanpa syarat dan tidak dikaitkan dengan metrik prestasi.
Di Malaysia, penanda aras gaji sara hidup kini ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan, berdasarkan Panduan Perbelanjaan Belanjawanku yang dibangunkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya.
“Setiap pekerja berhak mendapat imbuhan yang adil tanpa mengira prestasi kewangan syarikat,” katanya.
Solomon turut menggesa agar pinjaman perumahan berfaedah rendah disediakan untuk pekerja kumpulan B40 dan M40 bagi memudahkan pemilikan rumah, sambil menegaskan bahawa perumahan mampu milik ialah hak asas dan menjadi teras kepada kestabilan kewangan.
Beliau berkata, ketua pegawai eksekutif (CEO) yang menerima gaji terlampau tinggi mesti diwajibkan berkongsi keuntungan secara adil dengan tenaga kerja mereka, sambil menambah bahawa mekanisme perkongsian keuntungan perlu dilaksanakan bagi mencerminkan sumbangan kolektif semua pekerja.
Selain itu, Solomon mencadangkan supaya semua pekerja B40 dan M40 menerima bantuan perayaan bersamaan dengan satu bulan gaji setiap tahun bagi membolehkan mereka meraikan sekurang-kurangnya satu perayaan utama dengan bermaruah.
Beliau juga mencadangkan agar belanjawan menyediakan geran dan pinjaman mikro kepada koperasi milik pekerja serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana milik rakyat Malaysia yang mengamalkan pembayaran gaji adil, sambil menyifatkan entiti sedemikian menjadi pemacu utama penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang saksama.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mencadangkan agar kerajaan meringankan kos sara hidup pekerja dengan mengurangkan perbelanjaan utiliti. Beliau mencadangkan agar kerajaan memulakan usaha itu dengan memasang panel solar di kawasan perumahan kos rendah di seluruh negara.
“Kita boleh pasang panel solar menegak di rumah kos rendah, seperti yang dilakukan di Singapura dan beberapa negara lain,” katanya. “Ini akan membolehkan pekerja menjimatkan kos elektrik dan menikmati lebih banyak daripada gaji mereka.”
Tenaga kerja lebih berpendidikan
Santiago juga menggesa kerajaan memperkenalkan ‘kursus perantaraan’ bagi membantu pelajar yang lemah akademik tidak berasa terpaksa bekerja dalam sektor tidak mahir.
Beliau turut mencadangkan agar Belanjawan 2026 menambah baik sistem pengajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menawarkannya kepada pelajar sekolah menengah seawal usia 13 tahun.
Selain itu, Santiago mencadangkan agar gaji permulaan graduan TVET dinaikkan daripada RM1,700 kepada sekurang-kurangnya RM2,500, dengan alasan ia dapat menggalakkan lebih ramai belia menyertai program tersebut.
Bekas Ahli Parlimen Klang tiga penggal itu turut menggesa kerajaan supaya mengiktiraf secara rasmi pekerja sektor tidak formal di bawah Belanjawan 2026 bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan sosial dan faedah daripada KWSP serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Ada kalanya, pekerja dalam sektor tidak formal ini tidak menerima gaji minimum pun,” katanya.