Indira Gandhi saman KPN, 2 yang lain RM100 juta

Indira Gandhi saman KPN, 2 yang lain RM100 juta

Selain semakan kehakiman dan saman RM100 juta mereka juga bercadang memfailkan perintah mandamus terhadap Hamid.

Guru Tadika M Indira Gandhi terpisah dengan anak perempuannya, Prasana Diksa sejak 2009.
PETALING JAYA:
Guru tadika M Indira Gandhi akan memfailkan saman RM100 juta terhadap Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, polis dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini kerana “tiada tindakan” oleh mereka dalam mencari anak perempuannya selepas lebih sedekad.

Anaknya Prasana Diksa, diambil bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah pada 2009 ketika berusia 11 bulan, walaupun Hamid pada Januari menyatakan beliau tahu di mana Riduan berada, ibu dan anak itu masih masih tidak dapat disatukan.

“Mereka tidak memberi apa-apa kepada kami tetapi janji kosong,” kata peguam Indira, Sachpreetraj Singh Sohanpal.

“KPN pernah menyatakan beliau tahu di mana K Pathmanathan (Riduan) berada, (dan) kami sudah memberi masa kepada polis untuk mempercepatkan proses, tetapi ia sudah hampir setahun.

“Kami mahu mereka bertanggungjawab kerana tidak mematuhi perintah mahkamah. Indira perlu mendapat keadilan,” katanya.

Pada Jun 2014 Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan polis memberi laporan bulanan sehingga Prasana dikembalikan kepada Indira dan pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana.

Riduan memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izin Indira, dengan Mahkamah Persekutuan pada 2018 memutuskan sebarang penukaran agama secara sebelah pihak adalah tidak mengikut undang-undang.

Jurucakap Pasukan Bertindak Indira Gandhi (INGAT) Arun Dorasamy berkata, Indira sudah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung perintah mahkamah pada 2014 yang mengarahkan polis memberi laporan bulanan yang menyatakan usaha mereka menjejaki Prasana.

Semakan itu akan melalui proses pengurusan kes pada 17 Disember.

Selain semakan kehakiman dan saman RM100 juta, Dorasamy berkata mereka juga bercadang memfailkan perintah mandamus terhadap Hamid.

Perintah mandamus ialah perintah mahkamah yang memaksa seseorang pegawai kerajaan melaksanakan tugasnya.

Pertemuan antara Hamid dan Indira pada 3 September lalu ditangguhkan kerana KPN mempunyai urusan di Putrajaya dan cubaan mengadakan pertemuan itu sekali lagi menghampakan Indira.

“Polis tidak berminat untuk menyelesaikan kes ini,” kata Dorasamy.

“Walaupun mereka setuju untuk menjadualkan semula pertemuan itu dan apabila kami menulis kepada mereka pada 7 September untuk berbuat demikian, tiada sebarang respons.

“Jadi kami membuat keputusan untuk membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.