Kaji semula kebenaran operasi kilang di kawasan berisiko pencemaran sungai, kata NGO

Kaji semula kebenaran operasi kilang di kawasan berisiko pencemaran sungai, kata NGO

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam berkata, kilang yang berada di kawasan berisiko berlaku pencemaran sumber air mentah perlu dipindah ke kawasan lain.

Antara punca berlakunya pencemaran sumber air mentah yang dikenal pasti ialah aktiviti kilang di kawasan berhampiran sungai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO alam sekitar menggesa kerajaan Selangor mengkaji semula kelulusan kilang di kawasan berisiko berlakunya pencemaran sungai.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Sharifah Sabrina Syed Akil mendesak kilang yang berada di kawasan berisiko berlaku pencemaran sumber air mentah dipindah ke kawasan lain bagi mengelak insiden pencemaran sungai daripada berulang sehingga membawa kepada penutupan loji rawatan air (LRA) dan menjejaskan jutaan rakyat.

“Semua kelulusan untuk kilang yang diberikan di kawasan berisiko dalam tempoh 10 tahun lepas sepatutnya diteliti semula. Pemindahan kilang ke kawasan lebih sesuai mesti dikaji.

“Kilang yang mencemarkan sumber air mentah mesti ditutup serta merta dan kadar denda yang dikenakan mesti setimpal dengan kesusahan yang dialami oleh semua pihak akibat gangguan bekalan air.

Sharifah Sabrina Syed Akil.

“Kerajaan negeri Selangor juga mesti akur dengan ketidakseimbangan kelulusan yang dikeluarkan di kawasan berhampiran sungai di Selangor selama ini,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas isu gangguan bekalan air di Selangor beberapa kali sejak kebelakangan ini akibat pencemaran sungai.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya menyenaraikan kilang yang menjalankan aktiviti perniagaan berisiko berlakunya pencemaran bagi memudahkan proses pengesanan dan pengawasan secara bersepadu.

“Senaraikan kilang yang menjalankan perniagaan berisiko mencemarkan sumber air mentah dan buat serbuan untuk memastikan pengusaha tidak membuang agen pencemar ke saliran air yang akhirnya masuk ke sungai.

“Pelbagai mekanisme boleh diguna untuk mendapatkan data secara ‘live’ apabila agen pencemar air dikenal pasti dilepaskan oleh kilang sebelum ia sampai ke sungai,” katanya.

Sharifah berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula “zon buffer” sungai di seluruh Selangor, termasuk mewujudkan sempadan baru bagi memastikan kawasan sumber air mentah bebas daripada risiko pencemaran.

Katanya, isu pencemaran sungai yang kerap kali berlaku di Selangor juga disebabkan oleh kelemahan penguatkuasaan di semua peringkat, dari daerah hingga ke Putrajaya.

Beliau tidak menolak kemungkinan unsur rasuah juga menyumbang kepada isu pencemaran sumber air.

“Semua agensi penguatkuasaan terlibat di semua peringkat kerajaan patut menjalankan siasatan secara bersepadu untuk mengakhiri episod gangguan bekalan air,” katanya.

Sebanyak 8 kali masalah gangguan bekalan air tidak berjadual dilaporkan tahun ini sehingga Oktober di Selangor.

Terbaharu, 1,196,457 pemegang akaun Air Selangor di 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan selepas LRA di Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran bau sejak Isnin.

Antara punca berlakunya pencemaran sungai yang dikenal pasti ialah aktiviti kilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.