
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dijalankan ke atas kilang pembuatan mi, kuetiau, laksa, tauhu dan tempe di Bedong dan stor simpanan di Jalan Angsana, pada 11 pagi semalam.
Katanya, operasi bersepadu KPDN Kedah bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah itu, merangkumi pemeriksaan perakuan dan penandaan halal yang digunakan oleh premis, status pensijilan halal, serta penguatkuasaan di bawah Akta KPDN.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke atas produk dikeluarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kilang itu memproses produk makanan dalam pelbagai saiz dan dipercayai diedarkan ke pasaran di seluruh negara.
Muhammad Nizam berkata, sitaan turut dibuat terhadap produk berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM87,057.
“Kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.