
Dalam kenyataan hari ini, pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, loji rawatan air SSP1 memulakan operasi secara maksimum bagi memenuhi sistem utama bekalan air kepada pengguna di Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor.
“Kerja pembaikan paip air terawat yang pecah di LRA SSP1 siap sepenuhnya pada jam 8 pagi ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Air Selangor meningkatkan penyaluran air terawat daripada beberapa LRA lain, termasuk LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Wangsa Maju, LRA Sungai Batu dan LRA Bukit Nenas bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
“Air Selangor juga menggerakkan sebanyak 84 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan di kawasan terjejas.
“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam yang disediakan untuk kemudahan pengguna yang memerlukan bekalan air semasa tempoh pemulihan bekalan air.”
Pengguna di 5 wilayah berkenaan mengalami gangguan bekalan air bermula semalam selepas LRA SSP1 terpaksa dihenti tugas separa.
Pemberhentian tugas itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan ekoran paip air yang menyalurkan bekalan air terawat mengalami kebocoran.