Anwar tiba di Bukit Aman berkait senarai nama sokongan ahli Parlimen

Anwar tiba di Bukit Aman berkait senarai nama sokongan ahli Parlimen

Semalam, polis memaklumkan 113 laporan dibuat terhadap presiden PKR itu susulan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baru.

Polis pada mulanya memanggil Anwar Ibrahim memberi keterangan pada 12 Okt lalu, tetapi setiausahanya memaklumkan presiden PKR itu hanya dapat hadir keesokannya.

3KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim tiba di Bukit Aman petang ini untuk memberi keterangan berhubung kes penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid kepada media.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun tidak melalui pintu utama Bukit Aman.

Ramkarpal Singh yang merupakan peguam Anwar turut hadir di ibu pejabat polis itu.

Isnin lalu, polis dilapor memanggil Anwar memberi keterangan berhubung kes itu kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas.

Polis pada mulanya memanggil ahli Parlimen Port Dickson memberi keterangan pada 11 pagi Isnin lalu, tetapi setiausahanya memaklumkan Anwar hanya dapat hadir pada 9 pagi Selasa.

Oleh itu, polis menangguhkan janji temu itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, 113 laporan dibuat terhadap Anwar susulan penyebaran senarai nama itu.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Selasa lalu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bagi menyampaikan bukti beliau mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau pada sidang media selepas itu berkata, Agong akan menemui beberapa pemimpin parti politik dalam beberapa hari selepas beliau menyerahkan dokumen yang terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti kepada Sultan Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.