Polis teliti keperluan siasat MB Selangor akui keluar kuarantin

Polis teliti keperluan siasat MB Selangor akui keluar kuarantin

Polis tahu Amirudin Shari keluar kuarantin, yang membuat pengakuan di Twitter.

Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis maklum akan situasi mengenai ketidakpatuhan arahan kuarantin oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan akan meneliti tindakan susulan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis akan melihat keperluan untuk menyiasat Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang baru-baru akui keluar kuarantin untuk tangani isu pencemaran air di Sungai Semenyih, yang menyaksikan lebih 300,000 rakyatnya mengalami gangguan bekalan air.

Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis maklum akan situasi itu, dan ia diakui sendiri oleh Amirudin di Twitter.

“Kita tahu dia keluar kenyataan minta maaf. Kita akan teliti tindakan susulan,” katanya menjawab pertanyaan pemberita selepas menghadiri merasmikan seminar di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras hari ini.

Amirudin di Twitter pada 4 Okt memohon maaf kepada rakyat Selangor kerana keluar kuarantin ekoran situasi bekalan air yang melanda Selangor sejak Ahad.

Beliau menjalani kuarantin walaupun ujian saringan meunjukkan keputusan negatif.

“Tetapi, disebabkan berlaku masalah pencemaran air di Sungai Semenyih, yang memberi kesan kepada rakyat Selangor, saya terpaksa keluar dari kuarantin malam ini.”

Sementara itu, Acryl memberi amaran kepada semua ahli politik bahawa polis akan bertindak selepas kes jangkitan meningkat ketara.

“Kita akan bertindak lebih keras dan tegas tanpa melihat siapa individu itu, kita akan berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan ini,” katanya.

Mengenai siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang dikatakan tidak ikut arahan kuarantin sekembalinya dari luar negara pada Julai, Acryl memaklumkan Jabatan Peguam Negara menyerahkan semula kertas siasatan semalam untuk dikemaskini.

“Jabatan Peguam Negara yang akan bawa ke mahkamah, jadi mereka perlu pastikan kes tersebut punyai keterangan cukup dan kukuh,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.