Portfolio exco Selangor diumum Rabu

Portfolio exco Selangor diumum Rabu

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, senarai portfolio sudah 'sedia' namun pihaknya mahu istiadat angkat sumpah exco petang ini selesai dahulu.

Amirudin Shari turut mengesahkan seorang Adun BN akan menyertai pentadbirannya, buat pertama kali selepas 15 tahun menjadi pembangkang.
KLANG:
Senarai portfolio yang akan dipegang 11 exco negeri Selangor akan diumumkan pada Rabu ini selepas mesyuarat pertama ahli mesyuarat kerajaan negeri, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Bercakap kepada media selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Alam Shah, Amirudin berkata, senarai portfolio berkenaan sudah “sedia” namun pihaknya mahu istiadat angkat sumpah jawatan exco yang dijadual berlangsung petang ini selesai terlebih dahulu.

“Kita akan maklum (senarai portfolio) pada Rabu selepas mesyuarat pertama exco sebab sebahagiannya baru (dilantik) …. portfolio dah ada, tetapi biarlah majlis angkat sumpah berlangsung (dahulu),” kata Adun Sungai Tua itu.

Amirudin yang juga naib presiden PKR turut mengesahkan seorang Adun Barisan Nasional akan menyertai pentadbirannya, buat pertama kali selepas 15 tahun menjadi pembangkang.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada wakil tunggal BN itu akan dilantik sebagai exco kanan.

“BN ada (dilantik exco). Sebagai rakan kongsi, kita kena bergabung bersama dan kita percaya gabungan perpaduan berjaya melepasi ujian pertama dalam pilihan raya,” katanya.

“Walaupun gagal dapatkan majoriti dua pertiga, tetapi kita masih mempunyai kelebihan 12 kerusi berbanding lawan. Itu permulaan bagus dan kita boleh kukuhkan pada masa depan.”

Gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan di Selangor selepas menang 34 daripada 56 DUN, namun gagal mengekalkan penguasaan dua pertiga dinikmati selama dua penggal bermula 2013.

FMT sebelum ini melaporkan Adun Sungai Air Tawar Rizam Ismail daripada BN dijangka mengangkat sumpah sebagai exco Selangor, menjadikan beliau wakil tunggal gabungan itu.

Memetik sumber, FMT melaporkan, selain Rizam, antara muka baharu yang akan dilantik menjadi exco termasuk Adun Kota Anggerik Najwan Halimi dan Adun Seri Setia Fahmi Ngah daripada PKR, serta Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin daripada DAP.

Istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji exco negeri dijadual berlangsung pada 2 petang ini di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Terdahulu, Amirudin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-17 di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11.30 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.