
Orang ramai sibuk menuding jari kepada Pakatan Harapan (PH). Ruang komen bising, penganalisis separuh masak berpusu-pusu buat teori PH kena tsunami. Kalau kita letak emosi tepi dan lihat fakta paling sukar ditelan, Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu jauh lebih teruk.
PH masih ada dalam kerajaan negeri. Hajiji Noor masih ketua menteri. Kerajaan stabil.
PN pula? Tiada angin, tiada bayang, hampir 90% calon PN hilang deposit. Ini kegagalan besar! Pukulan paling memalukan: Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee tumbang. Naib presiden Bersatu tewas di kawasan sendiri. Jika jeneral jatuh, apa lagi nasib askar di bawah?
Lebih pedih, kerusi tunggal PN yang menang bukan datang daripada Bersatu, tetapi PAS. Bayangkan parti yang kononnya memimpin gelombang biru terpaksa menumpang nafas pada parti lain. Tamparan yang patutnya menyedarkan semua ahli Bersatu.
Lima tahun lalu kita percaya PN kuat. Kini semua retak sebab satu ‘benda’: kedegilan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, bersama Azmin Ali.
Kepimpinan yang keras kepala, dikelilingi penasihat lemah, dan presiden yang kehilangan sentuhan.
Aura Muhyiddin makin pudar. PRN Sabah bagi isyarat jelas: rakyat sudah tak percaya. Trend data di lapangan menunjukkan kejatuhan konsisten. Yang masih pura-pura percaya cuma geng sekeliling dia saja.
Jika kita bersikap jujur sebagai orang yang sayang parti, maka kita kena akui realitinya: menuju PRU16, PN tidak boleh dipandu oleh tangan yang sama.
Ramai dalam parti, diam-diam, melihat Hamzah Zainudin sebagai pilihan yang lebih tersusun, lebih strategik dan lebih stabil. Tidak sempurna tetapi jauh lebih waras daripada struktur lama yang jelas gagal.
Soalan paling membimbangkan bukan ‘kenapa PN kalah di Sabah?’ tetapi ‘bagaimana PN mahu bertahan sampai PRU16?’.
PAS senyum sebab mereka pun nampak, kalau ikut prestasi, mereka patut mengetuai PN, bukan Bersatu. Saya sendiri tak salahkan mereka kalau itu yang mereka fikirkan.
Sebagai ahli Bersatu, saya bukan marah. Saya malu. Malu bila tengok parti sendiri rosak perlahan-lahan kerana orang di atas tak berani berubah.
PN tidak perlukan tampalan. PN perlukan reset total. Leadership overhaul. Strategi baharu. Budaya baharu. War Room sebenar, bukan studio selfie.
Jika kita tidak berani rombak sekarang, jangan terkejut kalau rakyat rombak kita nanti.
Pada tahap ini, dengan data dan keputusan Sabah, dengan mood rakyat dan ketidakstabilan dalaman, adalah lebih baik kita berhenti bermimpi menggenggam Putrajaya kalau kita sendiri tak mampu menjaga parti sendiri.
Kerana dalam politik, musuh sebenar bukan parti lain. Musuh sebenar ialah pemimpin yang tidak sedar dia sudah menjadi liabiliti.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.