
Dengan lebih 20 parti menyertai PRN kali ini, kebanyakannya berpangkalan di Sabah, hanya lapan parti berjaya menamatkan saingan dengan menang sekurang-kurangnya satu kerusi.
Tetapi, ada yang menang besar, ada yang kalah teruk, dengan keputusan PRN kali ini dijangka memberi kesan lebih besar kepada mereka.
Pemenang – Hajiji dan GRS
Tanpa diragui, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor antara pemenang terbesar, sebagai ketua menteri buat penggal kedua dengan sokongan Upko, Barisan Nasional (BN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pakatan Harapan (PH) dan lima calon bebas yang dahulunya bersama GRS.
Walaupun gabungan Hajiji tidak mencapai majoriti mudah secara bersendirian, keyakinannya diperkukuh dengan kejayaan merampas beberapa kubu kuat BN dan Warisan melalui peti undi, bukannya menerusi lompat parti seperti dahulu.
GRS berjaya memanfaatkan gelombang sentimen berpusatkan Sabah, walaupun ada yang menuduh ia terlalu rapat dengan Putrajaya, dan tetap meraih sokongan kukuh daripada komuniti Kadazandusun Murut serta Islam-Bumiputera.

Yang kalah – BN
Prestasi buruk menyaksikan gabungan lama Malaysia itu hanya tinggal enam kerusi selepas pencapaian pilihan raya paling teruk di Sabah dalam beberapa dekad ini, apabila pemimpin utamanya tewas. Sebagai perbandingan, BN pernah memenangi 59 daripada 60 kerusi DUN pada pilihan raya 2008.
Malah, Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin hampir tewas di Lamag, dengan majoriti tipisnya 661 undi pada 2020 susut kepada 153 undi Sabtu lalu.
Susulan itu, penganalisis politik menyarankan BN melakukan rombakan kepimpinan, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, memandangkan Sabah pernah dianggap “peti undi selamat”.
Pemenang – Warisan
Walaupun gagal membentuk kerajaan negeri, Warisan menang 25 kerusi secara solo dalam PRN kali ini, memberi saingan sengit kepada GRS.
Peralihan undi masyarakat Cina daripada DAP dan PKR kepada Warisan antara kejutan terbesar, walaupun ada yang mempersoalkan sama ada sokongan ini akan kekal dalam jangka panjang, hakikatnya parti itu berjaya merampas hampir semua kerusi bandar.
Secara keseluruhannya, Warisan akan mempunyai perwakilan lebih kukuh dalam DUN dan pengaruh politik lebih besar di Sabah ketika ia membuat persiapan menghadapi PRU16, mungkin bertanding secara solo lagi.

Yang kalah – PH
Kekalahan menyeluruh DAP dan PKR kehilangan dua kerusi tradisi pasti menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kepimpinan nasional PH kerana keputusan ini dianggap amaran yang memerlukan muhasabah mendalam.
Timbul kebimbangan penolakan pengundi Cina dan bandar tidak hanya akan berlaku di Sabah atau berpunca daripada sentimen berpusatkan Sabah, tetapi akibat rasa tidak puas hati yang lama terpendam terhadap isu ekonomi serta kompromi dalam soal rasuah.
Sesetengah pihak dalam PH, termasuk tokoh lantang seperti Rafizi Ramli dari PKR turut dijangka menyuarakan kritikan terhadap pucuk pimpinan.
Pemenang – Rakyat Sabah
Keputusan DUN tergantung mungkin bukan apa yang diharapkan rakyat Sabah, tetapi mereka pasti berbangga dengan mesej jelas dihantar kepada parti dari Semenanjung.
Malah, Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim turut mengakui kekalahan besar PH dan BN tanda jelas rakyat Sabah mahu dipimpin anak negeri serta mahu hak mereka dikembalikan.
Kerajaan persekutuan pula akan mempunyai dorongan politik untuk segera menunaikan semua janji kepada Sabah dengan PRU16 semakin hampir, sesuatu yang akhirnya akan memanfaatkan rakyat Sabah.

Yang kalah – Nurul Izzah
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sepatutnya menjadi antara tokoh utama memimpin gerakan kempen bagi partinya dan PH, tetapi beliau dilihat memainkan peranan tidak menonjol.
Anwar pula kelihatan lebih aktif berkempen berbanding anak perempuannya, dengan mengadakan beberapa siri lawatan ke seluruh Sabah untuk meraih sokongan bagi calon PH, usaha yang jelas tidak banyak membuahkan hasil.
Nurul Izzah segera bertanggungjawab atas kekalahan besar itu sambil menegaskan perjuangan PKR di Sabah tetap diteruskan, tetapi kredibiliti bekas Ahli Parlimen itu sebagai pemimpin politik kini di bawah penelitian.
Yang menang dan kalah – ‘katak politik’ Sabah
Nasib ‘katak politik’ di Sabah bercampur-baur: ada yang berjaya memenangi kerusi, yang lain pula kecundang.
Antara yang menang ialah Jamawi Jaafar dari PKR, bekas ahli GRS yang menang kerusi Melalap. Turut berjaya calon GRS, Mohammad Mohamarin (Banggi), Ben Chong (Tanjong Kapor) dan Arsad Bistari (Tempasuk), semuanya bekas ahli Warisan yang menang dalam PRN Sabtu lalu.
Tetapi, keadaan berbeza bagi George Hiew dari PKR, bekas ahli GRS yang tersingkir selepas dua penggal menyandang kerusi Karamunting serta bekas timbalan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Ellron Alfred Angin yang kehilangan kerusi Sook kepada Arthur Joseph Kurup dari BN.
Ellron meninggalkan Parti Bersatu Rakyat Sabah pimpinan Kurup untuk menyertai STAR pada 2018, sebelum keluar parti bulan lalu selepas STAR menarik diri daripada GRS.

Pemenang bertuah dengan majoriti tipis
Pertandingan pelbagai penjuru dan perpecahan undi di beberapa kerusi menyaksikan pemenang hanya meraih majoriti sangat tipis.
Adun paling bernasib baik ialah Azhar Matussin dari Warisan, yang mempertahankan kerusi Darau dengan majoriti 63 undi, diikuti Harun Durabi dari BN yang mengekalkan kerusi Bengkoka dengan majoriti 77 undi.
Warisan turut berdepan keadaan sama di Sungai Sibuga, kubu kuat BN, apabila calonnya Nurulalsah Hassan Alban menang dengan majoriti 88 undi menewaskan Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir.
Chong dan Jamawi juga boleh dianggap bernasib baik, apabila masing-masing menang di Tanjong Kapor serta Melalap dengan majoriti 369 dan 525 undi.