GRS tak perlu BN untuk bentuk kerajaan Sabah, kata Pemuda PGRS

GRS tak perlu BN untuk bentuk kerajaan Sabah, kata Pemuda PGRS

Sayap itu berkata GRS bersama sekutunya mampu bentuk kerajaan negeri yang kukuh tanpa sokongan parti 'ditolak rakyat'.

Pengerusi GRS Hajiji Noor angkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah susulan PRN Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menggesa Gabungan Rakyat Sabah menolak sokongan Barisan Nasional dalam pembentukan kerajaan negeri, susulan pelantikan semula Pengerusi Hajiji Noor sebagai ketua menteri.

Sayap itu berkata, GRS sudah memperoleh majoriti selesa bagi membentuk pentadbiran negeri, dengan 29 kerusi dimenangi GRS sendiri, lima (bebas), tiga (Upko), dan masing-masing satu daripada Pakatan Harapan dan KDM, di samping dua kerusi STAR.

“Keputusan pengundi wajib dihormati. Rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar.

“Pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran. Langkah-langkah sumbang politik yang berlaku pada 2023, yang turut digerakkan oleh BN, tidak seharusnya berulang kerana ia telah menggugat kestabilan politik dan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan, merujuk ‘Langkah Kinabalu’.

Pemuda PGRS berkata, komposisi semasa wakil rakyat dalam kerajaan GRS Plus adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sokongan tambahan daripada parti yang telah ditolak rakyat.

Katanya, BN sendiri sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah melancarkan serangan politik terhadap gabungan itu dan kepimpinan ketua menteri.

“Maka, adalah tidak wajar rakyat kini mereka tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan.

“Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan BN memberi sokongan untuk membentuk kerajaan Sabah dengan Hajiji sebagai ketua menteri.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi, terdahulu berkata gabungan itu bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang ‘sehaluan’ bagi menubuhkan kerajaan negeri.

BN mencatatkan prestasi pilihan raya terburuk di Sabah dalam tempoh beberapa dekad, apabila menang hanya enam daripada 45 kerusi ditandinginya pada PRN Sabtu lalu.

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, mempertahankan kerusi Lamag walaupun dengan majoriti lebih tipis, iaitu 153 undi berbanding 661 pada 2020, manakala bekas ketua menteri Salleh Said Keruak kalah di Usukan yang disandangnya selama empat penggal.

Selain PGRS, GRS turut dianggotai oleh Parti Bersatu Sabah, Parti Cinta Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Liberal Demokratik dan Parti Harapan Rakyat Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.