Huruf dikerat di jalan raya – ketika jalan pintas jadi luka bangsa

Huruf dikerat di jalan raya – ketika jalan pintas jadi luka bangsa

Di Singapura, papan tanda ditulis dengan jelas dan penuh. Maka apakah alasan kita selain malas, culas, atau terlalu selesa mengambil jalan pintas?

papan tanda signboard

Apabila huruf dipintas dan nama dikerat atas alasan singkatan, yang hilang bukan sekadar ejaan tetapi maruah dan masa depan sebuah bangsa.

Saya sedang memandu menuju ke sebuah pekan lama yang kaya sejarahnya apabila mata saya tertarik pada sebuah papan tanda hijau bertulis singkatan seperti ‘JLN. SG. LEMBING’.

Sekilas pandang, ia mungkin kelihatan normal. Namun, semakin lama saya memerhatikan huruf-huruf itu, semakin hadir satu rasa tersinggung yang halus tetapi menikam.

Tidak lama kemudian, muncul pula singkatan lain pada papan tanda berikutnya. Ketika itu, saya merasa seolah-olah bahasa Melayu sedang dipotong, dipermain dan dicacatkan di hadapan rakyatnya sendiri — tanpa siapa pun bertanya: Mengapa bahasa kita diperlakukan sebegitu rupa?

Bahasa dipotong, identiti dilukai

Nama tempat tidak pernah dicipta untuk menjadi kod ringkas. Nama ialah lambang identiti, memori geografi, rekod sejarah dan suara warisan. Sungai Lembing misalnya, bukan sekadar titik di peta, tetapi fragmen kisah sebuah peradaban kecil dalam sejarah negeri.

Namun apabila ia disingkatkan di papan tanda, makna yang dikandungnya turut dipendekkan dalam kesedaran rakyat. Di sinilah bermulanya kerosakan halus terhadap maruah bahasa — perlahan, senyap, tetapi menghakis keyakinan kita terhadap nilai ejaan penuh.

Alasan ‘ruang papan tanda tidak mencukupi’ sering dijadikan hujah. Jawapan ini bukan sahaja dangkal, malah memalukan. Di Jepun, nama tempat yang jauh lebih panjang tetap dieja penuh meskipun ruang terhad kerana mereka percaya identiti tidak boleh dipotong sesuka hati.

Di Perancis dan Jerman, ejaan bukan bahan kompromi. Di Singapura, papan tanda ditulis dengan jelas dan penuh. Maka apakah alasan kita selain malas, culas, atau terlalu selesa mengambil jalan pintas?

Lebih mendukacitakan, ada kecenderungan mempermudah bahasa seolah-olah ia soal kos huruf, bukan soal maruah. Seandainya tulisan ‘BUKIT’ atau ‘JALAN’ dianggap ‘terlalu panjang’, lalu dipendekkan menjadi ‘BKT’ atau ‘JLN’ atas nama jimat ruang atau jimat belanja, itu bukan kebijaksanaan — itu penghinaan.

Bahasa bukan skru dan paku yang boleh dikurangkan untuk menekan bajet. Bahasa ialah jiwa; ia tidak boleh diukur dengan kiraan aksara.

Psikologi huruf: Pelancong menilai, anak bangsa meniru

Bahasa dalam ruang awam membentuk persepsi dan maruah negara. Pelancong yang melihat nama tempat dipotong akan mempersoalkan profesionalisme kita. Anak tempatan pula membesar dengan tanggapan bahawa bahasa boleh dipermain dan diubah sesuka hati.

Pada saat kita sibuk berkempen tentang pelancongan dan identiti nasional, papan tanda pula menayangkan wajah bertentangan — wajah sebuah negara yang tidak serius mempertahankan namanya sendiri.

Kontradiksi ini semakin ketara apabila kita meneliti sistem pendidikan. Di sekolah, guru menegur murid kerana menggunakan singkatan dalam karangan. Buku teks menuntut ejaan penuh. Pemeriksa kertas pula memotong markah jika murid mempermudah bahasa.

Namun di luar pagar sekolah, murid melihat papan tanda rasmi kerajaan melakukan tindakan yang sama tanpa rasa bersalah. Bagaimana mahu menanam disiplin bahasa jika negara sendiri menunjukkan teladan yang bercanggah? Bukankah itu satu penghinaan terhadap usaha pendidikan selama ini?

Warisan bukan untuk dicincang

Bahasa ialah warisan, dan warisan bukan hiasan kosmetik. Nama tempat ialah rakaman sejarah, jerih payah generasi terdahulu dan tali yang menyambungkan masa lalu kepada masa kini. Pelancong tidak datang semata-mata untuk melihat pantai, gunung atau gua.

Mereka mahu memahami jiwa tempat itu — termasuk namanya. Kita melaungkan kemerdekaan saban tahun, namun masih gagal memahami bahawa bahasa ialah tiang seri maruah pasca-merdeka. Jika selepas puluhan tahun merdeka, nama tempat pun kita tidak mampu pertahankan, maka apakah makna merdeka itu selain ritual tahunan tanpa jiwa?

Huruf kecil, imej besar

Papan tanda bukan hanya paparan arah — ia wajah negara. Negara yang berdisiplin pada ejaan memberi mesej bahawa mereka berdisiplin dalam pembinaan negaranya. Negara yang cuai pada bahasa pula menghantar mesej bahawa mereka cuai pada asas lain.

Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Perancis menjaga ejaan bukan kerana ego linguistik, tetapi kerana bahasa ialah visual identity negara. Pelancong yang melihat ejaan penuh akan merasai keteraturan, ketelitian dan maruah — sebelum mereka pun memahami budaya setempat.

Sebaliknya, apabila nama kita dipotong seperti kod kilat dalam aplikasi pesanan segera, imej negara menjadi murah, berserabut dan tidak berwibawa. Sekecil huruf di papan tanda pun boleh membezakan antara negara yang dihormati dan negara yang dipandang enteng.

Mentaliti ‘asal boleh’ dan disiplin nasional

Masalah papan tanda ialah sebahagian daripada penyakit lebih besar: mentaliti tergesa-gesa dan budaya mengambil jalan mudah. Kita mahukan versi cepat, ringkas dan kononnya praktikal untuk semua perkara — termasuk dalam bahasa. Hasilnya, lahirlah budaya kerja sambil lewa. Bangsa yang tidak tegas pada huruf, lama-kelamaan tidak akan tegas pada prinsip.

Imej, arah dan kekeliruan pengguna

Papan tanda sepatutnya difahami dalam sesaat, bukan ditafsir seperti teka silang kata. Pelancong luar, pemandu dari negeri lain atau anak muda yang baru memiliki lesen tidak seharusnya tertanya-tanya sama ada ‘Pers.’ itu ‘Persiaran, Persatuan atau Persekutuan’.

Bahasa pada papan tanda wajib jelas, tepat dan penuh — kerana papan tanda bukan nota ringkas 160 aksara, tetapi alat pandu arah negara. Lebih daripada itu, papan tanda mendidik secara senyap.

Kanak-kanak yang membesar di dalam kereta memerhati ejaan, mengecam bentuk kata dan menyerap bahasa melalui pembacaan tidak langsung. Apabila bahasa dikerat secara culas, bukan sahaja pelancong dikelirukan — malah generasi sendiri kehilangan medan pembelajaran alami.

Dasar ada, keberanian tiada

Masalah papan tanda bukan soal huruf — ia soal kepimpinan bahasa. Kita memiliki dasar bahasa kebangsaan, tetapi dasar itu tidak dihayati, tidak dikuatkuasakan dan tidak dihormati dalam ruang awam.

Pihak berkuasa mampu mengarah peniaga mematuhi ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka, namun gagal menunjukkan teladan pada papan tanda awam. Di mana kewibawaan itu?

Dasar tanpa pelaksanaan hanyalah hiasan di kertas rasmi. Undang-undang tanpa keberanian hanyalah slogan. Bahasa tanpa penghormatan ialah bahasa yang sedang menunggu ajalnya sendiri.

Menuju standard nasional: Tanggungjawab bersama

Sudah tiba masa Malaysia mewujudkan standard papan tanda kebangsaan yang diselaraskan antara DBP, JKR, PBT dan agensi berkaitan, supaya tiada lagi ejaan yang bergantung kepada tafsiran daerah.

Kerajaan wajar tegas menetapkan ejaan penuh sebagai piawaian nasional, namun rakyat juga mesti berubah dari segi sikap. Bahasa bukan projek jabatan — bahasa ialah projek bangsa.

Jika ibu bapa, guru, media, pentadbiran dan masyarakat bergerak dalam nada yang sama, kita akan membina budaya bahasa yang lebih bermaruah. Perubahan ini kecil pada pandangan mata, tetapi besar ertinya pada peradaban sebuah negara.

Cermin, warisan dan maruah

Papan tanda ialah cermin negara. Ia menunjukkan bagaimana kita memperlakukan bahasa kita sendiri. Jika huruf pun kita gagal pertahankan, usahlah berbicara tentang maruah bangsa.

Kanak-kanak belajar melalui teladan, bukan arahan. Pelancong menilai melalui butiran kecil, bukan slogan besar. Dan bangsa berdiri melalui bahasanya, bukan gimik media.

Sudah tiba masa kita berhenti menjadi ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus tetapi memilih jalan senget. Hormatilah nama. Hormatilah bahasa. Hormatilah warisan.

Jika bangsa lain mampu mempertahankan ejaan penuh sebagai prinsip, mengapa kita pula memilih alasan? Jika perkara sekecil ini pun kita gagal tegakkan, lebih baik kita diam daripada melaungkan slogan tentang maruah.

Kerana maruah bukan diukur pada suara yang lantang, tetapi pada tindakan yang nyata — termasuk pada satu papan tanda hijau di tepi jalan, sedang anak bangsa memerhatikannya dalam diam.

 

Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.