‘Lebih remaja’, Muzium Negara kini tumpuan bangsa Malaysia

‘Lebih remaja’, Muzium Negara kini tumpuan bangsa Malaysia

Jika dulu lebih 60% pengunjung berbangsa Melayu namun selepas kempen dilaksanakan kementerian ia berjaya menarik kedatangan pelbagai kaum.

MUZIUM NEGARA
Muzium Negara antara institusi terpenting dalam memelihara warisan dan identiti bangsa Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Muzium Negara tidak pernah sunyi apabila menerima sehingga 3,000 pengunjung setiap hari sekali gus membuktikan usaha ‘meremajakan’ institusi itu berkesan dan berada di landasan betul.

Jika dulu pengunjung ke muzium hanya untuk melihat barangan lama, kini ia ‘lebih hidup’ dengan dipenuhi program, pendigitalan dan pelbagai elemen interaktif bagi menarik minat golongan muda.

Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria, berkata pihaknya sedar program bersifat dekat di hati masyarakat sangat berkesan dalam menarik kedatangan pengunjung bukan sekadar peragaan artifak semata-mata.

Katanya, program dilaksanakan mendapat sambutan hangat dan sering menerima maklum balas positif pengunjung yang mahukan ia diadakan lagi kerana mereka tidak puas.

Zamrul Amri Zakaria
Zamrul Amri Zakaria.

“Contohnya, program ‘Bermalam di Muzium Negara’, peserta mengatakan ia pengalaman sangat berharga dan perlu diadakan dua kali setahun. Begitu juga program lain, amat menggalakkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, program tahunan yang ditunggu-tunggu pengunjung adalah Nostalgia Anak Kampung, dengan pelbagai tema contohnya Temasya Riuh Sekampung (2025) serta Kenduri Kendara (2024) – bertujuan mengajak masyarakat mengenang semula kehidupan kampung yang semakin dilupakan.

MUZIUM NEGARA
Galeri A menempatkan artifak dan alat-alat batu yang digunakan pada zaman Paleolitik, Hoabianh dan Neolitik.

“Untuk acara tahunan ini, kita menerima sekitar 15,000 hingga 25,000 pengunjung dan program bulanan berskala kecil kebiasaannya akan melepasi sasaran.

“Setakat November, jumlah keseluruhan pengunjung melebihi 500,000 dan kita sasarkan 600,000 menjelang hujung tahun,” katanya.

Pengunjung pelbagai bangsa

Sejak bernaung bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) diterajui Aaron Ago Dagang, Muzium Negara semakin dikunjungi oleh pelbagai bangsa.

Zamrul berkata, jika dulu lebih 60% pengunjung berbangsa Melayu, namun selepas kempen dilaksanakan kementerian ia berjaya menarik kedatangan pelbagai kaum.

MUZIUM NEGARA
Antara pameran di galeri B yang menempatkan khazanah zaman kesultanan dahulu kala.

Sehingga 2024, lebih 437,000 koleksi berharga direkodkan di Muzium Negara, dengan 322,966 daripadanya bahan arkeologi meliputi serpihan seramik, alat batu, logam, kayu, ‘votive tablet’, manik, arca batu serta arang.

Transformasi digital juga terus giat dijalankan bagi memaksimumkan penyampaian kepada masyarakat, antaranya penggunaan aplikasi ‘Muzium Negara AR’ yang membolehkan pengunjung mendapatkan informasi dalam bentuk realiti terimbuh (AR) 2D dan 3D, dinding digital, kios informatif serta pelbagai bahan interaktif.

“Remaja sekarang lebih suka mendengar dan melihat daripada membaca, dengan adanya visual bersifat interaktif, mereka lebih memahami.

“Kebanyakan pelawat, mungkin suatu masa dulu dia pernah datang tapi tidak kembali. Kita mahu mereka kembali lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.