
Jernell Tan daripada kumpulan hak asasi Suaram berkata, sembilan individu terdiri enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), dua wakil NGO Mandiri, dan seorang penduduk Kampung Jalan Papan.
Tan juga mengesahkan Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, bersama dua lelaki lain direman sehari lagi susulan penahanan mereka semalam.
Arutchelvan dan dua individu terbabit ditahan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Timbalan pengerusi PSM itu berkata, mereka hanya cuba menghentikan perobohan ke atas rumah yang belum dikosongkan sepenuhnya kerana masih ada keluarga di dalam ketika kerja dijalankan.
Beliau turut mendakwa salah seorang aktivis ditahan hanya kerana meminta polis menangguhkan kerja perobohan selama dua hari lagi.
Menurut Malaysiakini, mereka yang ditahan hari ini adalah Setiausaha Agung PSM M Sivaranjani, Bendahari Soh Sook Hwa, serta ahli parti Aein Aneera Anuar, K Ramasamy, Tan Ka Wei dan P Hridhay.
Aktivis yang ditahan adalah Wong Kueng Hui daripada Mandiri dan Fakrurrazzi Khairur Rijal daripada Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, manakala penduduk pula Tang Bing Ai.
Sebelum ini, PSM dan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menggesa kerajaan negeri menghentikan perobohan rumah kosong di kampung itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula, berikutan kebimbangan bahawa kira-kira 100 keluarga akan kehilangan tempat tinggal.
Kerajaan negeri pada 23 Okt menyatakan hanya rumah dan premis perniagaan kosong akan dirobohkan. Namun, pada 27 Okt penduduk menerima notis baharu untuk mengosongkan rumah mereka.
Mereka sejak itu merayu kepada Menteri Besar Amirudin Shari supaya campur tangan dan menghentikan kerja perobohan.