Dipetak, diperintah, dimangsai

Dipetak, diperintah, dimangsai

Kita biasa dengar ungkapan 'divide and rule' tetapi yang lebih menjolok mata di Malaysia sebetulnya ialah 'define and rule', yang mana kita dimuat dalam satu definisi tertentu kemudian ditentukan nasib kita.

faisal tehrani

Terdapat sebuah buku ilmiah karya Profesor Mahmood Mamdani yang menurut saya sangat menarik untuk ditelaah. Judulnya lebih kurang ‘Define and Rule’ (2012), dan memang menjadi bacaan meluas untuk siswa bidang sosiologi dan antropologi.

Satu bab malah menyorot pengalaman negara kita. Apa yang mengesankan daripada pembacaan buku segenting ini adalah satu petaka akibat jenayah kolonialisme iaitu berlakunya petak-petak antara ras, dan bangsa; yang mana hari ini ‘pempetakan’ ini menjadi petaka jahat untuk kita yang kemudian ditinggalkan oleh penjajah.

Kita biasa mendengar ungkapan ‘divide and rule’, dikerat-kerat dan diperintah, tetapi yang lebih menjolok mata di Malaysia sebetulnya ialah ‘define and rule’, yang mana kita dimuat dalam satu definisi tertentu kemudian ditentukan nasib kita.
Beginilah caranya kuasa kolonial mendefinisikan siapa kita sebelum memisah dan mempetakkan kita dalam acuan atau kotak yang mereka sediakan. Ia kemudian diwarisi oleh kita dengan bergaya dan hari ini rasisme adalah bahagian daripada kesan jenayah kolonialisme ini.

Saya menulis sedikit minggu lalu bagaimana dalam ‘Define and Rule: Native as Political Identity’ ini, Mahmood Mamdani menjejaki perihal kuasa kolonial mencipta dan menginstitusikan identiti melalui rekaan politik bahawa ada kelompok ‘peribumi’ dan ada pula ‘pendatang’.

Beliau menghuraikan bagaimana politik identiti moden, terutama di Afrika dan Asia Selatan pasca penjajahan, sebenarnya tidak lahir daripada tradisi pra-kolonial, tetapi tercipta daripada strategi pemerintahan kolonial yang bertujuan menundukkan rakyat jajahan melalui pembezaan budaya, dan bukannya penyatuan. Menurut Mamdani, pendekatan atau strategi penjajahan ini dikemukakan dan diajarkan kepada para rekrut untuk tanah jajahan diabsahkan oleh pentadbir seperti Frederick Lugard dan sarjana seperti Lord Hailey.

Penjajah sewenangnya ‘mentakrif’ manusia ke dalam kategori ras dan budaya tertentu, lalu ‘memerintah’ mereka melalui struktur yang dicipta mereka. Akibatnya, wujudlah apa dinamai ‘peribumi’ dan kemudian ‘pendatang’. Apa yang disebut oleh Mamdani ini dilakukan oleh British terhadap kita. Sekelip mata mereka mempetakkan siapa Melayu, yakni Bumiputera, dan siapa pula yang tidak.

Menurut Mamdani, keparat yang memulai petaka pempetakan ini adalah Henry Maine, seorang penggubal undang-undang dalam Kabinet di India pasca-Pemberontakan 1857. Karya-karya Maine dijadikan bacaan wajib bagi sesiapa yang sedang dikaderkan untuk perkhidmatan di India, bahkan untuk Perkhidmatan Kolonial seluruh empayar. Maka pentadbir seperti Alfred Lyall di India, Frank Swettenham di Tanah Melayu, Lord Cromer di Mesir, Frederick Lugard di Nigeria dan Uganda, Harold MacMichael di Sudan, serta Donald Cameron di Tanganyika, semua para pentadbir kolonial di seluruh jajahan ini menterjemahkan ajaran Maine tersebut dan dibawa masuk ke dalam dasar dan amalan pemerintahan.

Di Tanah Melayu, Swettenham melaksanakan pempetakan ini dengan dua jenis ‘anak negeri’, mulanya dengan apa yang dinamai ‘mereka yang bertamadun’ dan ‘yang asli’. Kemudian menerusi Perjanjian Pangkor 1874, British secara rasmi mentakrifkan seorang Melayu sebagai “sesiapa yang lazim bertutur dalam bahasa Melayu, menganut agama Islam, dan mengamalkan adat Melayu”.

Takrif rasmi ini membawa dua kesan besar dan bertentangan. Pertama, ia memberi ruang luas bagi ramai pendatang Muslim untuk diserap ke dalam identiti Melayu. Maka para Arab, Mamak dan lain-lain misalnya beroleh keberuntungan.

Kedua, menurut Mamdani, memberikan kesan kecelakaan yang berlawanan di mana ia menurunkan martabat orang bukan Muslim, yang sebelum itu dianggap sama-sama Melayu seperti Melayu Muslim, menjadi ‘peribumi asli’ atau ‘orang asli’.

Menurut Mamdani, pasca acuan politik 1957, terdapat dua kelompok Melayu: Muslim (Melayu) dan bukan Muslim (Orang Asli). Yang dahsyatnya, dua petak ini diletakkan secara berlainan dalam hierarki peradaban. Melayu Muslim akan dianggap ‘beradab’ kerana ia diberadabkan oleh agama. Sedangkan Orang Asli dihantar ke tahap terendah sebagai ‘asli’ sepenuhnya, dan oleh itu, dalam kerangka kolonial, hanya layak menjadi subjek, dan bukan pemerintah.

Akan tetapi satu hal yang tidak disebut oleh Mamdani ialah bagaimana aneka etnik dibakulkan menjadi Melayu secara semberono. Bagaimana ia dilakukan? Tentu sahaja perkara ini tiada dalam buku teks sejarah sekolah menengah.

Dalam penyediaan klasifikasi bancian, bangsa-bangsa (dari hari ini Indonesia) digolongkan secara pukal sebagai penduduk Melayu. Tindakan kolonial ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam membentuk definisi kemelayuan sebagaimana difahami pada hari ini.

Bagaimana taktik define and rule seperti dikaji oleh Mamdani ini diaplikasi? Dalam bancian Negeri-negeri Selat tahun 1871 dan 1881, British menyusun tiga kumpulan dari Barat di bahagian teratas, diikuti senarai bagi seluruh penduduk lainnya. Pada bancian 1881 itu mereka menambah kategori ‘Tentera British’ dan beberapa pecahan dialek menurut orang Cina. Ketika itu, kelompok Melayu, masyarakat asli, serta pelbagai etnik dari Kepulauan Indonesia termasuk Aceh, Andaman, Bawean, Bugis dan Jawa dinyatakan secara berasingan.

Akan tetapi, dalam bancian 1891, berlaku perubahan besar pada struktur pengelasan etnik ini. Enam pecahan utama diperkenalkan iaitu ‘Orang Eropah dan Amerika’, ‘Eurasia’, ‘Cina’, ‘Melayu dan Penduduk Lain Kepulauan’, ‘Tamil dan Penduduk Asal India Lain’, terakhir ‘Bangsa-bangsa Lain’. Empat puluh lapan etnik dari Kepulauan Indonesia yang sebelum ini dikira secara terpisah dimasukkan ke bawah kategori besar iaitu di bawah kategori ‘Melayu dan Penduduk Lain Kepulauan’, maka tiba-tiba mereka yang disenaraikan sebagai Aceh, Bawean, Bugis, Jawa, dilonggokkan menjadi Melayu bersama etnik-etnik lain.

Setelah itu istilah race atau ‘bangsa’ muncul buat pertama kalinya dalam bancian 1891 ini, khususnya dalam lampiran sebagai arahan kepada para pengira banci. Penciptaan kategori ‘Melayu dan Penduduk Lain Kepulauan’ serta kemasukan pelbagai etnik ke dalamnya ini disahkan secara undang-undang, lantas diwarisi dalam setiap wacana mengenai identiti, dasar, dan sejarah di alam Melayu.

Hari ini ketidakwarasan yang dinamai dengan ‘ketuanan’ kian mengental di bawah define and rule ini. Dalam buku monumental beliau, Mamdani menyeru agar komuniti politik pascakolonial difikirkan semula, agar ia tidak lagi berlandaskan perpecahan antara ‘peribumi’ dan ‘pendatang’, tetapi bertunjangkan kewarganegaraan yang adil dan partisipasi politik yang setara.

Inilah yang digunakan oleh Zohran Mamdani, anaknya di New York dalam usaha memecahkan kebuntuan ‘natif dan imigran’. Beliau menggunakan lensa kritis untuk memahami warisan pengetahuan kolonial yang menerbitkan segala macam jenayah di negara moden. Apa yang kita kenali sebagai jenayah perkauman.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.